Oleh: Fansurina Abddullah
KUANTAN, 13 MAC 2020: Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman mengesahkan solat Jumaat di semua masjid di negeri Pahang tiada pembatalan dan berlangsung seperti biasa.
Beliau memaklumkan agar semua masjid membaca doa qunut nazilah semasa solat Jumaat dan solat subuh setiap hari sebagaimana saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu kenyataan baginda, semalam.
Walau bagaimanapun, mereka yang sakit yakni keuzuran dibolehkan untuk tidak menunaikan solat Jumaat kerana bimbang menjangkiti jemaah lain.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika dihubungi berkata, para jemaah yang akan hadir pada solat Jumaat hari ini dibolehkan memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan selagi tidak menghalangi anggota sujud.
Selain itu katanya, jemaah perlu menitikberatkan penjagaan kebersihan seperti kerap membasuh tangan menggunakan sabun dan juga sanitizer.
“Saya ingin menasihati orang ramai supaya elakkan berkongsi peralatan solat dan elak daripada bersentuhan dan bersalaman dengan jemaah lain bagi mengelak jangkitan wabak Covid-19.
“Bawalah sanitizer bersama bagi memastikan penjagaan kebersihan terjaga,” katanya. -PAHANGMEDIA
Artikel berkaitan
Masjid Perlu Sedia Sanitizer dan sabun untuk keperluan jemaah