Pemain pahang diasak pemain Sabah dalam perlawanan Liga Super, Selasa lalu.

SKUAD PAHANG TAMPIL LEBIH YAKIN MENENTANG MELAKA UNITED

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 13 MAC 2020: Kemenangan skuad Tok Gajah ke atas Sabah dalam saingan Liga Super, Selasa lalu mampu menyuntik semangat kepada pemain Pahang untuk tampil lebih yakin pada perlawanan menentang Melaka United, Sabtu ini di Stadium Hang Jebat.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, kemenangan dalam perlawanan itu meletakkan kembali skuad Tok Gajah di landasan yang baik untuk mengharungi saingan Liga Super.

“Saya amat bersyukur kerana Pahang akhirnya mengutip tiga mata selepas dikecewakan dengan dua kekalahan sebelum ini. Kemenangan ini sudah pasti menyuntik semangat buat semua pemain yang diharap tampil dengan lebih yakin pada perlawanan
Sabtu ini,” katanya di sini.

Pahang mencatat kemenangan pertama selepas menewaskan Sabah 2-0 di Stadium Darul Makmur dan dalam dua perlawanan sebelum ini, skuad Tok Gajah itu tewas 2-1 di tangan Selangor serta 3-2 kepada PJ City FC.

Perlawanan Liga Super Pahang menentang Sabah, Selasa lalu.

Sementara itu, Dollah berkata, secara keseluruhannya beliau gembira kerana pemain begitu bersemangat untuk mengutip tiga mata dan misi itu berjaya dilakukan.

“Saya berterima kasih kepada pemain kerana menamatkan perlawanan dengan tiga mata di laman sendiri dan berharap momentum ini dapat diteruskan dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Pada perlawanan itu, tuan rumah yang terdesak memburu kemenangan mempertaruhkan Ivan Carlos dan Mohamadou Sumareh untuk mengetuai jentera serangan.

Hasilnya, minit ke-21, Carlos menjaringkan gol pendahuluan selepas menerima hantaran Sumareh yang tidak dikawal.

Gol kedua Pahang dijaringkan oleh pemain pertahanan import, Herold Goulon yang menyempurnakan sepakan penalti selepas Wan Azraie menjatuhkan Carlos di dalam kotak penalti pada minit ke-50. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: