Oleh : Fansurina Abdullah
BUKIT TINGGI, 22 NOVEMBER 2020 : Peranan yang dimainkan golongan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) perlu lebih meluas dan menyeluruh tidak hanya tertakluk kepada sesetengah bantuan sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, usaha ini bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang sesuatu perkara selain menghulurkan bantuan semata-mata kepada mereka.
Katanya, setiap NGO mempunyai fokus dan tujuan tertentu namun mereka perlu dinamik dengan mempelbagaikan bantuan dan misi agar lebih terbuka dan menyeluruh.
“Contohnya jika Dapur Infaq menyediakan makanan kepada penerima atau pun mangsa bencana, mereka boleh juga mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan melalui pemakanan seperti ‘eat clean’ dan sebagainya.
“Ini sekali gus dapat berkongsi pengetahuan yang bermanfaat dengan mereka selain hanya menghulurkan bantuan makanan semata-mata,” katanya.
Program tersebut merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada 24 NGO yang aktif membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terutamanya kepada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 lalu.
Kesemua NGO menerima sijil penghargaan dan trofi sebagai menghargai dan menggalakkan kesukarelawan pada masa akan datang.
Pengerusi Persatuan Sukarelawan Kebajikan Daerah Kuantan (PSKDK), Encik Aziz Ku Li, 38 tahun, berkata, beliau berharu dengan usaha yang dilakukan JKM ini kerana selama lima tahun terlibat secara serius di dalam kerja kesukarelawan ini, dia tidak pernah mengharapkan sebarang balasan terutama daripada pihak JKM.
“Sebenarnya PSKDK telah lama berkolaborasi bersama JKM dan kami semakin serius berkolaborasi dengan mereka pada PKP lalu dengan sama-sama turun padang bagi mengagihkan barangan bantuan kepada masyarakat pada ketika itu,” katanya.
Sementara itu,Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Telekung Kuantan (STK), Puan Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh berkata, pertubuhannya sangat aktif menyediakan makanan kepada para barisan hadapan ketika perlaksanaan PKP baru-baru ini dan beranggapan usaha JKM ini sangat memberikan galakan kepada ahli STK untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat.
Manakala Timbalan Pengerusi Gabungan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Negeri Pahang (GPSK), Encik Ahmad Faizal Hazizan berkata, pertubuhannya telah menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana terutama ketika banjir besar yang melanda negeri ini pada tahun 2013 lalu.
“Walau bagaimanapun perlaksanaan PKP akibat penularan Covid-19 baru-baru ini benar-benar menguji kami para sukarelawan kerana terpaksa berdepan dengan banyak risiko ketika melaksanakan misi bantuan kepada masyarakat yang terjejas ekoran PKP,” katanya.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang turut melancarkan Program Kembara Prihatin Negara 2020 Peringkat Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA
363 total views