Guru Besar, Encik Mohd Shawaluddin Haji Abu (berdiri tengah) bersama beberapa guru yang menjayakan Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) 2020 Peringkat Kebangsaan.

SK KUALA MEDANG TERIMA ANUGERAH SERI ASRAMA TERBILANG 2020 PERINGKAT KEBANGSAAN

Oleh: Fansurina Abdullah
 
KUALA LIPIS, 24 NOVEMBER 2020: Berkat pengorbanan dan komitmen warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Medang, akhirnya berjaya memenangi Anugerah Seri Asrama Terbilang 2020 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.
 
Guru Besar SK Kuala Medang, Encik Mohd Shawaluddin Haji Abu berkata, kesemua warga sekolah terutama para guru dan kakitangan sangat bersungguh-sungguh terutama pengorbanan dari segi masa dan wang ringgit bagi memastikan kejayaan dapat dicapai.
 
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru, kakitangan, jawatankuasa PIBG SK Kuala Medang, penghulu, state holder dan komuniti yang berada di Kuala Medang kerana membantu SK Kuala Medang dalam pertandingan Anugerah Seri Asrama Terbilang sehingga berjaya.
 
“Terima kasih tidak terhingga juga kepada Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana memberi semangat dan dorongan kepada SK Kuala Medang untuk terus berjaya,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di SK Kuala Medang, di sini, baru-baru ini.
 
Katanya, penilaian dibuat berdasarkan lima Standard Kualiti Pengurusan Asrama (SKPA) iaitu pertama ialah kempimpinan, hala tuju dan pengurusan asrama, kedua, pembangunan sahsiah, pengurusan aktiviti dan program murid.

“Standard ketiga pula ialah pengurusan prasarana, keempat kemenjadian murid dan kelima ialah pematuhan kontrak kerajaan,” jelasnya.
 
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPKHEM) SK Kuala Medang, Puan Musliha Kamal berkata, kesemua guru dan warga sekolah sangat bersungguh-sungguh membuat persiapan bagi penilaian juri sebaik sahaja berjaya dipilih bagi mewakili Negeri Pahang ke peringkat kebangsaan pada Disember 2019.
 
“Kejayaan ini adalah berkat kerjasama dan sokongan semua, terima kasih kepada guru besar, guru-guru, warden, pembantu pengurusan murid, staff dan semua yang membantu. Tidak lupa juga sokongan komuniti dan Menteri Besar Pahang yang banyak membantu kami dan memberi sokongan untuk kejayaan pertandingan ini,” katanya.
 
Pelbagai persiapan dilakukan termasuklah mencantikkan blok-blok asrama, melengkapkan infrastruktur dan susunan segala kemudahan di samping mengindahkan lagi suasana agar lebih kondusif demi keselesaan pelajar khususnya yang menginap di asrama.
 
Antara kemudahan yang disediakan bagi penghuni asrama ialah surau, bilik prep, dewan makan yang selesa, bilik mesyuarat bagi aktiviti penghuni asrama dan bilik riadah yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan permainan ‘indoor’.
 
Seramai 39 pelajar luar bandar yang menginap di asrama terdiri daripada 19 lelaki dan 20 perempuan yang berasal dari kampung sekitar termasuklah Kampung Kuala Medang, Kampung Serau dan FELDA Sungai Koyan.
 
Sementara itu, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy ketika ditemui UKOMP turut menzahirkan rasa bangga di atas kejayaan cemerlang yang diukir oleh warga SK Kuala Medang.
 
“Bukan senang hendak mencapai kejayaan dalam banyak asrama seluruh Malaysia akhirnya asrama dari Kuala Medang yang mendapat kejayaan yang cemerlang dan ini sangat membanggakan terutama lokasi kita di luar bandar kerana kemudahan di bandar dan kita tidak sama.
 
“Tahniah kepada semua, kepada guru besar, kepada cikgu-cikgu dan murid itu sendiri yang sangat patuh dan berdisiplin sehingga boleh berkaya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 2,127 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download