Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail berucap merasmikan Program Keterlibatan SIRIM- Industri di Hotel Zenith, Kuantan hari ini.

SIRIM BAKAL LAKSANA PROJEK HIBRID KAYU KAYAN BERSAMA MITB

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 21 JULAI 2020: Sirim Berhad (SIRIM) terus menawarkan penggunaan dan peningkatan teknologi dalam pelbagai sektor seperti pembuatan dan perkhidmatan.

Terkini, SIRIM bakal bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi melaksanakan projek Hibrid Tenaga Hijau Pengeringan Kayu- Kayan Tempatan ke arah Industri mampan.

Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, YBbhg. Ir Dr Ahmad Fadzil Mohd Hani berkata, projek tersebut melibatkan audit tenaga dan kajian keberkesanan pengeringan tanur (kiln drying) ke atas produk kayu.

“Kita jangkakan projek ini akan dilaksanakan pada bulan Oktober ini selepas ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak koronovirus (COVID-19).

“Projek ini akan membantu pengusaha mengurangkan kos tenaga elektrik, termasuk cadangan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui iaitu tenaga solar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Keterlibatan SIRIM-Industri di Hotel Zenith, di sini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail diiringi Presiden Dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, YBHG. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohd Hani beramah mesra dengan tetamu yang hadir selepas merasmikan Program Keterlibatan SIRIM- Industri di Hotel Zenith Kuantan.

Program tersebut telah dirasmikan Oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), YB Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin.

Mengulas lanjut mengenai program yang diadakan di sini, Ir. Dr Ahmad Fadzil berkata pihaknya menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan teknologi dalam usaha meningkat produktiviti Industri serta usahawan di Pahang.

Menurutnya, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 136 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro di Pahang telah terlibat dalam Program Pembangunan Keusahawanan Pemasaran dan kewangan.

“Jadi, melalui program ini, pendapatan usahawan akan meningkat sebanyak 23 peratus dan penawaran pekerjaan dijangka meningkat 18 peratus.

“Program ini telah berjaya melonjakkan pengeluaran, kualiti produk dan pembungkusan serta pelabelan sekaligus menembusi pasaran yang lebih besar seperti pasaraya besar,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail melawat tapak pameran selepas merasmikan Program Keterlibatan SIRIM- Industri di Hotel Zenith Kuantan disini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 1,470 PKS telah mengambil bahagian dalam program peningkatan teknologi industri dan sebanyak 25 PKS adalah dari Pahang.

Sementara itu, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy yang ditemui pemberita berkata program anjuran SIRIM dijangka dapat meningkatkan lagi penggunaan teknologi dan perkara-perkara baru yang boleh menguntungkan pemain industri di negeri Pahang.

Kehadiran SIRIM melalui program ini juga katanya turut akan membantu usahawan yang terlibat dalam PKS.

“Kehadiran SIRIM ini adalah untuk menjelaskan, berbincang mengenai perniagaan mereka dan saya percaya SIRIM akan membantu. Kalau mereka (usahawan) tidak mendapat maklumat yang jelas, itu yang akan menyebabkan kekeliruan dan mungkin ada kekangan untuk mereka meneruskan perniagaan.

“Jadi saya menyeru supaya usahawan berjumpa dengan SIRIM supaya dapat bertanya dan berbincang mengenai apakah tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan supaya dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya. PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: