Simulasi pemindahan mangsa banjir telah dijalankan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dengan kerjasama Urusetia Bencana Negeri sebagai langkah persediaan menghadapi Monsun Timur Laut mengikut norma baharu yang telah ditetapkan.

SIMULASI BANJIR BAGI MENGHADAPI BANJIR NORMA BAHARU

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

TEMERLOH, 28 NOVEMBER 2020: Simulasi pemindahan mangsa banjir telah dijalankan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dengan kerjasama Urusetia Bencana Negeri sebagai langkah persediaan menghadapi Monsun Timur Laut mengikut norma baharu yang telah ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah yang juga Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin berkata, simulasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini bertujuan untuk mengetahui kelemahan dan penambahbaikkan yang perlu dilakukan sekira berlakunya banjir sebenar.

“Simulasi ini kita masukkan pelbagai situasi termasuklah berkaitan pengurusan pesakit COVID-19 atau mereka yang perlu dikuarantinkan ketika banjir berlaku bermula dari pemindahan mangsa dari kediaman mereka sehinggalah ke pasca pemindahan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Latihan Simulasi Norma Baharu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Peringkat Negeri Pahang di SMK Kuala Krau, di sini, hari ini.

Anggota penyelamat membantu ‘mangsa’ yang terbabit dalam simulasi pemindahan mangsa banjir.

Menurut beliau lagi, simulasi ini sangat berguna dalam masa pandemik ini kerana ia dapat memperlihatkan kekurangan yang berlaku sekiranya berlakunya banjir sebenar.

“Simulasi kali ini ada SOP yang kita terlepas pandang, ada yang perlu ditambahbaik lagi kerana ini SOP baharu. Banyak lagi yang perlu diperkemaskan sebab bertahun-tahun kita pakai SOP banjir yang biasa tapi kali ini kita pakai SOP baharu yang agak berat. Jika dilihat dari segi teori atas kertas, kita mungkin faham tapi bila buat, akan jadi agak kelam kabut.

“Melalui simulasi selama dua hari ini, banyak perkara yang tidak disangka berlaku kerana kita berurusan dengan manusia dan jika ia berlaku dalam situasi sebenar, simulasi ini akan membantu semua pihak terlibat,” katanya.

Tambah beliau lagi, simulasi kali ini yang melibatkan 15 mangsa banjir dan hampir 50 petugas daripada pelbagai agensi memerlukan mangsa banjir melalui dua kaunter saringan terlebih dahulu.

“Mereka ini akan melalui kaunter saringan kesihatan oleh KKM dahulu dan jika tiada sebarang masalah di kesan, mereka akan ke kaunter pendaftaran sebelum dibenarkan masuk ke PPS.

“Pihak KKM juga memakai PPE lengkap bagi tujuan saringan ini, selain PPS akan disanitasi oleh pihak petugas PPS dengan bantuan JBPM tiga kali sehari, bantuan makanan di PPS juga tidak lagi dimasak di PPS sebaliknya akan dimasak oleh katering dan dihantar dalam bungkusan kepada mangsa,” katanya.

Anggota kesihatan memeriksan ‘mangsa’ banjir yang terlibat dalam simulasi pemindahan banjir.

Menurut salah seorang sukarelawan mangsa banjir dalam simulasi ini, Puteri Aliah Farhani Shuhaimi, 20, berkata sepanjang satu malam ditempatkan di PPS SMK Kuala Krau ini semua kelengkapan yang disediakan mencukupi.

“Sebagai mangsa banjir dalam simulasi ini, saya bermula dari diselamatkan di rumah sebelum dibawa ke PPS dan tidur di sini malam tadi. Setakat ini saya lihat proses pemindahan sangat cepat dan teratur.

“Kami juga diberi bantuan kelengkapan seperti toto, kain batik, tuala, kelengkapan diri, bantal dan selimut selain makanan, dan saya berpuas hati dengan segala kelengkapan dan proses yang dilalui,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,267 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download