Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md Sohaimi Haji Mohamed Shah (BN), berhubung pendekatan baru FELDA pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: TUBUH PASUKAN KHAS KEMBALIKAN REPUTASI FELDA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang menubuhkan Pasukan Khas bagi menangani isu Felda untuk merangka strategi mengembalikan reputasi FELDA serta memastikan pembangunan sosio-ekonomi para peneroka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, strategi pertama ialah FELDA berhasrat untuk menamatkan perjanjian dengan FELDA Global Ventures (FGV) Holdings Berhad tuntutan 350,000 ekar tanah bersama dengan kilang-kilang dengan impak kewangan berjumlah RM4.1 billion.

“Ini bermaksud, FELDA akan ambil semula tanah-tanah FELDA Plantation dulu yang telah digadai kepada FELDA Global Ventures (FGV) Holdings Berhad.

“Nombor dua, kita merangka untuk pendapatan RM5,000 sebulan kepada peneroka-peneroka dalam jangkaan 2025 dengan menukar unit baru kelapa sawit bagi menghasilkan kuantiti keluaran yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md Sohaimi Haji Mohamed Shah (BN), berhubung pendekatan baru FELDA pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Manakala rangka ketiga pula berkaitan pinjaman peneroka FELDA yang akan diturunkan daripada 96 kepada 48 bulan dengan potongan 6.25 peratus keuntungan.

FELDA juga merangka satu strategi baru iaitu tanaman alternatif dengan memberi pinjaman atau pun geran melalui Agro Bank untuk peneroka generasi pertama dan kedua untuk penanaman nenas, kelapa, ruminan, cili, kunyit hitam, halia muda dan ternakan ikan air tawar.

“Nombor lima, pasukan khas juga merangka untuk mewujudkan seramai 1,000 usahawan jutawan yang terdiri daripada anak-anak muda FELDA melibatkan generasi kedua, ketiga dan keempat,” katanya.

Kesemua matlamat ini ditetapkan untuk dicapai secara berperingkat mengikut keutamaan dalam tempoh satu hingga lima tahun bagi memastikan kelestarian FELDA dan menjamin kesejahteraan warga peneroka. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 301 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download