Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: TIGA STRATEGI PERKASA SEKTOR PERTANIAN DI PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Jabatan Pertanian Pahang telah menyusun tiga strategi bagi memperkemaskan lagi perlaksanaan program di peringkat lapangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, strategi pertama ialah pembangunan agromakanan berorientasikan eksport dengan teknologi moden.

“Strategi pertama ini mengenalpasti beberapa tanaman yang akan diberi tumpuan kerana faktor nilai tinggi seperti seperti durian D197 (Musang King) dan nangka madu J33 dan lain-lain.

“Strategi lain ialah memperkasa modal insan dalam pembangunan agromakanan serta amalan pertanian baik dan persijilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada YAB Menteri Besar di atas peruntukan sebanyak RM5.5 juta kepada Jabatan Pertanian bagi memantapkan sektor agromakanan terutamanya bagi peningkatan pengeluaran bahan makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman kontan, herba dan juga tanaman lain.

“Bagi meningkatkan lagi pengeluaran hasil bahan makanan di negeri Pahang, pihak Pertanian menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM3.15 juta bagi tahun 2021.

“Kita anggarkan 200 orang petani akan dapat dibantu bagi pembangunan tanaman buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman kontan, herba, rempah ratus, kelapa serta pemeliharaan lebah kelulut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pembangunan produk hiliran hasil tanaman industri hasil tani akan digerakkan mengikut kluster agar hasil dapat ditambahnilai untuk meningkatkan sumber pendapatan yang lebih tinggi kepada pengusaha.

“Peruntukan sebanyak RM450,000 disediakan tahun depan bagi membimbing pengusaha produk hiliran,” katanya.

YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi dalam ucapannya berkata, pihak Agrobank menyediakan pembiayaan bagi membantu perniagaan dan isi rumah yang terjejas akibat COVID-19.

“Sehingga 31 Oktober lalu, Agrobank Wilayah Pahang telah meluluskan pembiayaan kepada 127 orang pelanggan dengan nilai RM22.81 juta, manakala di bawah PENJANA sebanyak RM1.61 juta telah diluluskan kepada 177 peminjam agromakanan.

“Pembiayaan bagi agromakanan ini masih dibuka dan boleh dipohon di mana-mana cawangan Agrobank yang terdekat. Belia yang berminat untuk melibatkan diri juga boleh memohon kepada bank serta jabatan pertanian, vaterinar dan perikanan di daerah masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menerima aduan daripada 24 orang pengusaha melibat 397 petak sangkar ikan yang terjejas setakat ini melalui pejabat daerah.

“Mesyuarat telah diadakan dengan pengusaha serta jabatan perikanan supaya dapat menimbang untuk beri saguhati atau pampasan kepada penternak berkaitan.

“Rundingan masih dilakukan dan saya juga berharap agar nasib penternak terlibat mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 114 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: