Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin sewaktu menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Triang, YB. Cik Leong Yu Man (DAP), berhubung usaha kerajaan negeri membangunkan Tasik Bera pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: RM214.3 JUTA DIPERUNTUKAN BAGI MELESTARIKAN TASIK BERA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM214.3 juta bagi membangunkan Tasik Bera.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pengurusan cadangan projek untuk Tasik Bera dibahagikan kepada lima zon iaitu zon pengekalan, zon pemuliharaan (pertanian mampan), zon pembangunan terkawal, koridor riparian dan projek pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata, Majlis Daerah Bera juga telah menyediakan rancangan kawasan khas (RKK) Tasik Bera bagi mengenalpasti dan menyediakan cadangan pelan pembangunan dan pengurusan di kawasan tersebut.

“Saya hendak maklumkan bahawa kita menyediakan cadangan pelan pembangunan, jadi setiap kawasan pelancongan di Pahang ini, kita ada pelan pembangunan yang tersendiri yang termasuk di dalam rancangan kawasan khas di bawah Pelan Malaysia.

“Kita telah pecah-pecahkan kawasan di Tasik Bera ini kepada lima zon yang sangat penting dalam melestarikan pembangunan di Tasik Bera sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Triang, YB. Cik Leong Yu Man (DAP), berhubung usaha kerajaan negeri membangunkan Tasik Bera pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Katanya, zon pengekalan ini melibatkan Tapak RAMSAR Tasik Bera, Hutan Simpan Kekal di Chini dan Hutan Simpan Kekal Chini (Tambahan) di mana kerajaan akan mengekalkan kawasan terbabit.

Bagi zon pemulihan, kerajaan akan memberi fokus kepada pemulihan di kawasan tersebut manakala zon pembangunan terkawal pula, kerajaan akan mengawal setiap pembangunan yang dilaksanakan termasuklah laporan EIA dibuat supaya kawasan tersebut dapat dilestarikan.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 30,150 pelancong berkunjung ke Bera pada 2019, namun jumlah itu merundum kepada 5,722 pelancong sehingga Jun 2020 ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Daripada jumlah itu, seramai 14,212 pelancong berkunjung ke Tasik Bera pada tahun 2019 manakala seramai 4,662 pada tahun 2020.

Bagi memenuhi permintaan pelancong yang tinggi, beliau berkata, kerajaan negeri akan berusaha menyediakan pelbagai kemudahan seperti menambah bilangan chalet dan tapak perkhemahan agar dapat menampung jumlah pelancong yang datang pada satu-satu masa. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 128 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: