Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS) berhubung isu bekalan air di kawasan Jalan Jengkuar, Jalan Temalian dan Jalan Kaloi Felda Sungai Retang pada sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 bagi sesi pertanyaan lisan di Wisma Sri Pahang, di Kuantan hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: RM1.4 JUTA SELESAI ISU AIR DI LRA SEBERANG TEMBELING

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Mohd Mahathir Mohd Ali

KUANTAN, 18 NOVEMBER 2020: Sejumlah RM1.4 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf dan membaik pulih isu bekalan air di kawasan Jalan Jengkuar, Jalan Temalian dan Jalan Felda Sungai Retang di Jerantut.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi memasang pam galak di Loji Rawatan Air (LRA) Seberang Tembeling bagi mengepam air ke kawasan berkenaan.

Beliau berkata, ia bertujuan membantu mengatasi masalah tersebut dalam masa terdekat sebelum diteruskan dengan projek jangka panjang yang menelan belanja RM1.2 juta menerusi kerja naik taraf paip hantaran daripada jenis mild steel.

“Sebelum ini, paip hantaran bersaiz diameter 150 milimeter (MM) akan dinaiktaraf kepada 300MM dengan jarak sepanjang 4 kilometer yang menelan belanja RM1.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS) berhubung isu bekalan air di kawasan Jalan Jengkuar, Jalan Temalian dan Jalan Kaloi Felda Sungai Retang pada sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 bagi sesi pertanyaan lisan di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Katanya lagi, pemasangan pam galak di LRA Seberang Tembeling itu adalah perlu bagi mengepam air ke lokasi yang lebih tinggi memandangkan kedudukan lokasi yang dibangkitkan berada di kawasan yang tinggi dan kedudukan tangki imbangan LRA Seberang Tembeling pula berada sama aras dengan kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa projek menaik taraf atau membina loji rawatan air baharu di Kampung Air Hitam bernilai RM25 juta hingga RM50 juta turut dicadangkan dan tertakluk kepada kelulusan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 228 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download