Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sewaktu menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Tras, YB. Encik Chow Yu Hui (DAP), berhubung status projek menaik taraf bekalan air oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KATS) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PERUNTUKAN RM18 JUTA ATASI AIR KERUH

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq HakimSuhairi

KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang menerima peruntukan pinjaman Kerajaan Pusat sebanyak RM18 juta bagi mengatasi isu masalah air keruh di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bilut, LRA Sungai Semantan dan LRA Sungai Klau, Raub.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan iitu diluluskan bagi melaksanakan kerja-kerja segera bagi semua LRA terlibat.

“Skop kerja melibatkan skop kerja utama iaitu pembinaan Pre-Sedimentation Tank serta kerja-kerja berkaitan pada tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Tras, YB. Encik Chow Yu Hui (DAP), berhubung status projek menaik taraf bekalan air oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KATS) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, loji rawatan air hanya dapat merawat air dengan kadar kekeruhan tidak melebihi 1000NTU sahaja.

Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut kerja naik taraf akan dilaksanakan segera di mana ketiga-tiga projek kini berada di dalam peringkat tender dan kesemua projek mengambil masa 14 bulan untuk disiapkan.

Selain daripada projek-projek tersebut, kerajaan turut berusaha mengatasi masalah keputusan bekalan air dan lambat menerima bekalan air apabila loji ditutup akibat kekeruhan di kawasan perumahan.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah meluluskan tiga projek.

Projek itu adalah Kerja-kerja Penambahbaikan Bekalan Air di Taman Bukit Koman, Kerja-kerja Penambahbaikan Bekalan Air di Taman Lee Man dan Raub Utama dan Kerja-kerja Penambahbaikan Bekalan Air di Kampung Ulu Atok.

Menerusi projek tersebut, kerajaan yakin akan dapat mengurangkan kadar kekeruhan air yang berlaku di kawasan-kawasan terbabit. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 151 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: