Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PERUNTUKAN LEBIH RM2 JUTA TANDA PENGHARGAAN KEPADA WANITA

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada golongan wanita di mana lebih RM2 juta disalurkan dalam pembentangan Bajet Negeri Pahang 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, sebanyak RM772,000 disalurkan bagi pembangunan wanita dan RM1.5 juta melalui program Cakna Suri iaitu ujian mammogram secara percuma yang akan melibatkan 6,000 orang wanita di negeri ini.

“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kaum wanita sejajar dengan dasar wanita negara adalah untuk membangunkan potensi dan mendayaupayakan wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam semua sektor sebagai agen perubahan kepada masyarakat.

“Ini kerana wanita juga bertindak sebagai penyumbang kepada penyumbang ekonomi dan sosial negara dan negeri khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Sementara itu, menyentuh berkenaan kebajikan di negeri ini, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata, semua golongan yang memerlukan telah diberi ‘sentuhan’ di dalam bajet kali ini.

“Kerajaan negeri telah menyalurkan sebanyak RM3 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang di bawah kawalan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang melalui tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak RM1 juta berbanding tahun lalu.

Kerajaan negeri juga telah selesai menyalurkan bantuan barangan ke 118 buah pangkalan hadapan di seluruh negeri Pahang sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut kali ini.

Penghargaan terus diberikan di atas keprihatinan YAB Menteri Besar Pahang yang turut menyalurkan Bantuan Prihatin Pahang sebanyak RM250 kepada seramai 2054 orang warga emas berusia 80 tahun ke atas dengan jumlah keseluruhan RM513,500.

“Bantuan one-off turut diberikan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) melibatkan seramai 33973 orang dengan jumlah keseluruhan RM8,493,250.

Berdasarkan rekod JKM seramai 34,081 OKU telah berdaftar di negeri Pahang sehingga 16 November 2020, manakala jumlah OKU yang menerima bantuan bulanan adalah seramai 12,207 orang iaitu penerima elaun pekerja cacat (5,371 orang), bantuan penjagaan OKU sakit terlantar (2,103 orang) dan penerima bantuan OKU tidak upaya bekerja (4,733 orang).

Menurutnya, JKM juga memberi saguhati sebanyak RM150 sebulan kepada 1,362 orang pelatih OKU yang mengikuti latihan pemulihan di PPDK.

YAB Menteri Besar Pahang juga telah memperuntukkan sebanyak RM10,000 setiap 52 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dengan tujuan memberi latihan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan ia menjadi jumlah tertinggi berbanding RM1,000 bagi setiap PDK sebelum ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download