Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PERKETAT HUKUMAN KEPADA PENIAGA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Mohd Mahathir Mohd Ali

KUANTAN, 18 NOVEMBER 2020: Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mencadangkan agar hukuman terhadap peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya diperketatkan.

Beliau berkata, ini bertujuan memastikan mereka patuh terhadap arahan kementerian dalam menjaga kebajikan para pengguna terutama melibatkan harga barang keperluan asas.

“Kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan dan tegas terhadap hukuman atau denda yang dikenakan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan supaya mereka takut untuk bersikap tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata ketika menjawab soalan tambahan sesi pertanyaan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah menjelaskan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan tegas serta konsisten sebagai langkah mengawal kestabilan harga barangan keperluan rakyat di pasaran.

“Negara kita mengamalkan pasaran ekonomi bebas di mana barangan akan ditentukan oleh permintaan dan penawaran namun KPDNHEP sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengawal kenaikan harga.

“Selain itu, KPDNHEP juga melaksanakan OPS SURI dan OPS TEKO bertujuan memastikan pematuhan penandaan harga oleh peniaga di pasar-pasar awam dan restoran di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB. Tuan Haji Andansura Rabu, berhubung langkah kerajaan mengawal kenaikan harga barangan.

Katanya, bagi memantau harga barang, pihaknya turut mengadakan pemantauan harga di 54 premis terpilih seperti pasar raya, pasar basah, pasar mini, kedai serbaneka 24 jam, kedai runcit dan premis makanan siap masak.

“Para pengguna juga digalak menggunakan aplikasi Price Catcher dan MySales Tracker bagi membuat perbandingan harga sebelum membuat pembelian dan mengetahui premis yang mengadakan promosi jualan murah,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 222 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download