Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Tahan, YB. Encik Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS) berkenaan langkah Kerajaan Pahang dalam menangani isu kehilangan pekerjaan dan penggangguran akibat COVID-19 pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PERKESO BANTU PEKERJA TERKESAN COVID-19

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 17 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah melaksanakan beberapa usaha untuk membantu golongan yang kehilangan pekerjaan di Negeri Pahang termasuk ketika pandemik COVID-19.

​Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, antaranya adalah Faedah Kewangan, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang sehingga 30 Oktober lalu, seramai 2,217 individu yang kehilangan pekerjaan telah membuat permohonan.

“Seterusnya adalah Faedah Latihan SIP di mana PERKESO menawarkan faedah latihan bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dan mereka ini diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran. PERKESO akan menanggung yuran latihan sebanyak maksimum RM4,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Tahan, YB. Encik Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS) berkenaan langkah Kerajaan Pahang dalam menangani isu kehilangan pekerjaan dan penggangguran akibat COVID-19 pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak PERKESO juga ada menyediakan Faedah Bantuan Pencarian Pekerjaan SIP iaitu dengan kaedah sokongan secara individu oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO kepada mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Dengan program ini, PERKESO akan membantu mereka yang terlibat dengan aktiviti pencarian pekerjaan seperti jawatan-jawatan kosong yang bersesuaian, temuduga terbuka, karnival kerja yang sedang berlangsung serta sebarang bengkel,” katanya.

YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari berkata, PERKESO juga telah mewujudkan sebuah portal pekerjaan baharu iaitu Portal MYFutureJobs bagi membantu para majikan mengiklan kekosongan jawatan yang tersedia.

“Selain itu, portal itu juga membantu golongan pencari kerja di luar memohon jawatan kosong yang diiklankan di seluruh Malaysia,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 237 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download