Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sewaktu menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Jengka, YB. Encik Shahril Azman Abd Halim (PAS), berhubung status tanah di kawasan Hutan Simpan Jengka pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PEMBATALAN HUTAN SIMPAN UNTUK TINGKAT EKONOMI SETEMPAT

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Tindakan Kerajaan Negeri menerusi Pihak Berkuasa Negeri (PBN) melakukan pembatalan Hutan Simpan Jengka di tanah seluas 600 ekar bertujuan membolehkan pembangunan yang lebih baik dan terancang dapat dilakukan di kawasan terlibat.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ini seterusnya diyakini dapat meningkatkan lagi aktiviti ekonomi setempat untuk faedah penduduk tempatan termasuklah daerah Maran.

Beliau berkata, hutan terbabit melibatkan kawasan milik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang Kampus Jengka termasuklah kawasan hutan di belakang kampus seluas 1,150.89 ekar dan tapak Econsave yang terletak di dalam Mukim Chenor.

“Pembatalan sebahagian Hutan Simpan Jengka melibatkan lot UiTM Kampus Jengka dan kawasan sekitarnya telah dilakukan oleh PBN di bawah Seksyen 13, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

“Tindakan pemberitahuan pengisytiharan pembatalan sebahagian Hutan Simpan Jengka melibatkan kawasan yang dinyatakan telah dilakukan oleh PBN melalui Warta Kerajaan Negeri Pahang bertarikh 11 Dismeber 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Jengka, YB. Encik Shahril Azman Abd Halim (PAS), berhubung status tanah di kawasan Hutan Simpan Jengka pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Berdasarkan maklumat Hutan Simpan di Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, status kawasan yang dimaksudkan adalah bukan Hutan Simpan Kekal.

Berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan, maklumat Pelan Warta 5357 menunjukkan pengeluaran sebahagian kawasan Hutan Simpan Jengka berkeluasan 465.75 hektar. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 240 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download