Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Baserah, YB. Tuan Haji Andasura Rabu (PAS) berkenaan program-program pembangunan belia, jumlah belia yang menyertai serta kaedah pemantauan yang dilaksanakan untuk mengukur keberkesanan setiap program pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PEMBANGUNAN BELIA TUMPU TIGA ENTITI UTAMA

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Program pembangunan belia di negeri ini ditumpukan kepada tiga bahagian utama iaitu ekonomi, kepimpinan dan pembangunan sahsiah serta pembangunan sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, di dalam setiap bahagian ada pecahan program mengikut kecenderungan dan kebolehan belia.

“Bahagian ekonomi contohnya, kita ada Youth Career, Belia Bestari, B-Best, Youth Business Expo, Pengurusan Kewangan, Kursus kemahiran Komersial, Komunikasi Perniagaan dan lain-lain.

“Penglibatan belia dalam program pembangunan usahawan yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang sama ada di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan ialah seramai 337 orang bagi tahun 2019 hingga tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Baserah, YB. Tuan Haji Andasura Rabu (PAS) berkenaan program-program pembangunan belia, jumlah belia yang menyertai serta kaedah pemantauan yang dilaksanakan untuk mengukur keberkesanan setiap program pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini.

Berkenaan pemantauan keberkesanan program yang telah dilaksanakan, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari berkata ia dilakukan secara berkala bagi meneliti kelemahan dan potensi setiap program melalui kaedah penyelidikan yang dilaksanakan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

“Selain itu, kita juga adakan pemantauan dan post-mortem sebelum, selepas, semasa dan selepas pelaksanaan program dibuat bagi mendapat maklumbalas mengenai keberkesanan setiap program tersebut.

“Borang soal selidik turut dibekalkan secara langsung bagi menerima maklumbalas terus peserta selepas pelaksanaan program selesai,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 270 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download