Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Triang, YB. Cik Leong Yu Man (DAP) berkenaan perkembangan terkini mengenai penstrukturan semula air di Pahang pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PAHANG SEDIA TANDATANGAN PERJANJIAN PENSTRUKTURAN INDUSTRI AIR

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 17 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang sentiasa komited dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Pahang termasuk bersedia menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya hanya menunggu tarikh untuk menandatangani perjanjian itu yang dijadualkan Disember ini.

“Kerajaan Persekutuan memaklumkan akan membentangkan draf perjanjian bagi mendapatkan kelulusan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bulan ini.

“Kita telah menunaikan semua tanggungjawab dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan Semula Bekalan Air Pahang dan hanya menunggu tarikh untuk menandatangani perjanjian-perjanjian itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Triang, YB. Cik Leong Yu Man (DAP) berkenaan perkembangan terkini mengenai penstrukturan semula air di Pahang pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Pahang juga telah memohon hapus kira bagi pinjaman projek bekalan air negeri bagi penstrukturan semula bekalan air kepada Perdana Menteri melalui surat bertarikh 25 Oktober 2018.

Sehubungan itu, katanya, pihak Kerajaan Pahang juga telah bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi merunding perkara ini.

“Hasil rundingan yang telah dibuat dengan Kementerian Air Tanah dan Sumber Asli (KATS), tiga perjanjian telah dimutamadkan.

“Draf perjanjian-perjanjian ini telah dibentang di dalam Mesyuarat 28 Oktober lalu dan diluluskan untuk ditandatangani oleh pihak-pihak di dalam perjanjian tersebut. Keputusan ini juga telah dimaklumkan kepada KATS melalui surat bertarikh 03 November lalu,” katanya.- PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download