Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Norolazali Sulaiman ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PAHANG KEMUKA PERMOHONAN BINA BANGUNAN BAHARU, PROJEK JALAN RM16.09 BILION TAHUN HADAPAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang telah mengemukakan permohonan berkaitan pembinaan bangunan baharu dan projek jalan bernilai RM16.09 bilion kepada Kementerian Kerja Raya bagi tujuan pembangunan di negeri ini pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata Kerajaan Negeri juga turut memohon peruntukan bernilai RM716.08 juta bagi tujuan sama kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Bagi perancangan tahun 2021, sebanyak 24 cadangan projek baharu bangunan serta 37 cadangan projek jalan telah dipohon kepada Kementerian Kerja Raya dengan anggaran peruntukkan sebanyak RM16.09 bilion.

“Dan sebanyak 22 cadangan projek juga telah dipohon kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan anggaran sebanyak RM716.08 juta,”katanya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Beliau berkata sepanjang tahun 2019 dan tahun ini, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang telah menerima dan melaksanakan 47 projek dengan peruntukkan bernilai RM1.04 bilion.

“Sepanjang tahun 2019 hingga tahun 2020, pihak JKR Negeri telah menerima dan melaksanakan sejumlah 47 projek dengan peruntukkan sebanyak RM1.04 billion.

“Ini melibatkan 45 projek persekutuan bernilai RM608.2 juta dan dua projek negeri dengan nilai sebanyak RM433.07 juta,” katanya.

Tambah beliau lagi, peruntukkan sebanyak RM3.8 bilion daripada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan dua projek di negeri ini mampu memberi manfaat dan pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat di negeri ini.

“Dua projek sangat besar iaitu projek Central Spine Road (CSR) yang dijangkakan jajaran yang diluluskan ini adalah pakej keenam iaitu daripada Bentong ke Simpang Pelangai sebanyak 47.5 kilometer.Dan projek ini telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan anggaran kos sebanyak RM1.1 bilion.Skop yang terlibat
adalah membina baru dan menaiktaraf jalan sedia ada berasaskan empat lorong dua hala mengikut piawaian jalan JKR.

“Dengan pelaksanaan projek ini dapat memberi impak yang sangat positif, di mana ianya akan melengkapkan semua pakej projek jalan dari Kuala Krai, kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang yang bertujuan bagi mengurangkan kesesakan trafik ke Pantai Timur daripada Lebuhraya Pantai Timur 1 ke Kelantan. Projek CSR ini pasti akan memberikan impak kepada lima sektor utama membabitkan kawasan Pahang Barat ini meliputi sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan, disamping
sektor pelancongan sedia ada,” katanya.

Menurut beliau lagi, bagi mengurangkan kesesakan di jalan alternatif ke Pantai Barat, Kerajaan Negeri sedang mengkaji cara untuk bekerjasama denga kerajaan negeri yang bersempadanan dengan kawasan tersebut untuk membina satu lagi laluan masuk yang baharu.

“Bagi laluan ke Pantai Barat, kita selama ini terlalu bergantung kepada Lebuhraya Karak yang kita tahu saban hujung minggu mengalami kesesakan. Pada tahun lepas,
jalan alternatif yang digunakan iaitu jalan lama daripada Gombak ke Bentong, yangsering kita gunakan apabila berlaku kesesakan telah mengalami kerosakan dan ditutup.

“Jadi pihak jawatankuasa Kerajaan Negeri sedang mengkaji cara-cara cadangan bagaimanakah Kerajaan Negeri Pahang bekerjasama dengan kerajaan negeri-negeri yang berjiran dengan kita untuk membina satu lagi laluan masuk,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 231 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download