Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Hajah Samsiah Haji Arshad (BN), berhubung bantuan pelajaran dan pendidikan kepada pelajar IPTA dan IPTS pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: MUIP AGIH BANTUAN PENDIDIKAN UNTUK PELAJAR IPTA DAN IPTS

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Mohd Mahathir Mohd Ali

KUANTAN, 18 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang menerusi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan bantuan zakat kepada pelajar yang akan dan sedang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Kerajaan Negeri bersyukur kerana dapat mengurus zakat dengan baik apabila MUIP turut menyediakan skim bantuan dan agihan zakat bagi membantu golongan pelajar IPT.

“Pelajar-pelajar IPTA dan IPTS diberikan bantuan secara one-off apabila ingin masuk ke pusat-pusat pengajian mereka sama ada di peringkat diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD) kategori Pengajian Islam atau selain Pengajian Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Hajah Samsiah Haji Arshad (BN), berhubung bantuan pelajaran dan pendidikan kepada pelajar IPTA dan IPTS pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mendapatkan bantuan pendidikan tersebut, pelajar boleh membuat permohonan dengan mengemukakan surat tawaran belajar.

“Pelajar juga boleh melayari laman web MUIP www.muip.gov.my dengan mengambil pautan zakat4pengajian bagi membuat permohonan bantuan dan pengagihan zakat ini berdasarkan tahap pengajian masing-masing,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 392 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download