Ahli Dewan Negeri (ADN) Damak, YB. Tuan Haji Zuridan Mohd Daud

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: LEMBAH BENOM DICADANG JADI KLUSTER EKOPELANCONGAN PAHANG

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 18 NOVEMBER 2020: Lembah Benom yang terletak di Mukim Ulu Cheka dicadangkan untuk dijadikan kluster ekopelancongan di negeri ini berikutan keunikannya yang tersendiri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Damak, YB. Tuan Haji Zuridan Mohd Daud berkata, kawasan ini mempunyai banyak lokasi yang unik dan berpotensi untuk menarik kehadiran pelancong.

“Kawasan Lembah Benom ini merupakan kawasan yang kaya dengan produk-produk unik yang juga berpotensi untuk menarik kehadiran para pelancong.

“Antara kawasan yang dimaksudkan adalah Laluan Raflessia (Raflessia Trails), Lata Berembun, Eksplorasi Gunung Benom, Bukit Panau, Sungai Rengat, Durian Organik Premium, Lata Sangka Dua, Lang Buana Eco Resort Park, dan Eksplorasi Banjaran Tungku,” katanya.

Gambar hiasan

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Beliau juga meminta Kerajaan Negeri memberikan kebenaran kepada penduduk setempat untuk menguruskan taman eko-rimba di kawasan tersebut.

“Diharapkan Kerajaan Negeri dapat memberikan kebenaran kepada penduduk sama ada melalui JKKK atau NGO untuk menguruskan taman eko-rimba sebagai pusat program luar, program kerja berpasukan dan sebagainya kerana ia akan membuka peluang kerja kepada orang kampung.

“Saya juga memohon Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk memulihkan semula kawasan Hutan Simpan Kenong di Kampung Som yang terbiar begitu lama dengan membaik pulih kuarters kakitangan dan menaik taraf taman rekreasi,” katanya.

Beliau juga turut mencadangkan Kerajaan Negeri memberikan peruntukan kepada sekolah tahfiz yang tidak berdaftar di bawah peruntukan RM1 juta kepada madrasah dan sekolah tahfiz di negeri ini.

“Mengikut rekod jumlah keseluruhan madrasah dan sekolah tahfiz yang ada di negeri ini adalah sebanyak 164 buah. Di mana 89 adalah berdaftar manakala 75 lagi tidak berdaftar.

“Jadi saya mohon Kerajaan Negeri memperuntukkan dana bagi membantu sekolah-sekolah tahfiz yang belum berdaftar bagi melengkapkan prasarana agar memenuhi spesifikasi keselamatan dan kesihatan bagi tujuan pendaftaran,” katanya.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 662 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download