Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang (PKR) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: LEBIH RM500 JUTA ATASI MASALAH BANJIR DI PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Peruntukan sebanyak RM11.1 juta daripada Kerajaan Negeri dan RM499 juta daripada Kerajaan Pusat telah disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah banjir sejak tahun 2017.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan digunakan termasuk untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai dan hakisan pantai selain program amaran banjir, pengukuhan integriti struktur serta meningkatkan keselamatan empangan.

“Peruntukan yang merangkumi sejumlah RM61.1 juta bagi tahun ini juga digunakan untuk penyelenggaraan kolam takungan banjir, kerja-kerja kecemasan sebelum dan selepas banjir serta membina tebatan banjir seperti RTB Bandar Pekan, RTB Lembah Bertam, Cameron Highlands dan RTB Sungai Belat di Sungai Kuantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang (PKR) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

YB. Encik Sim ingin tahu berapa kos yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri sejak 2017 untuk mengatasi banjir di negeri Pahang.

Bagi soalan kedua berkenaan stok barangan bantuan yang tidak habis digunakan pula, Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, sebelum tahun 2019 semua stok barangan bantuan akan diagihkan kepada komuniti setempat dan golongan sasar jabatan secara sumbangan yang diuruskan melalui Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah.

“Bagaimanapun, bermula tahun ini stok yang tidak digunakan akan dibeli semula (buy back) oleh pembekal dengan kadar 30 peratus daripada harga asal.

“Hasil daripada buy back itu akan dimasukkan ke dalam Tabung Kumpulan Wang Amanah Malapetaka Negeri Pahang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan berkenaan projek mendalamkan Sungai Pahang bagi mengelak bencana banjir, beliau berkata ia dibawah badan yang dipertanggungjawabkan iaitu Pengurusan Pasir Pahang Berhad.

“Ia telah ditubuhkan untuk mengatasi isu ketirisan penjualan pasir dan secara tidak langsung mendalamkan Sungai Pahang.

“Hasil tindakan itu juga kita tidak mengalami bencana banjir yang besar seperti kali terakhir pada tahun 2014 dan berdoalah agar tidak berlaku lagi banjir besar pada tahun ini dan seterusnya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 360 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download