Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi, YB. Dato' Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tras, YB. Encik Chow Yu Hui (DAP) mengenai keperluan laporan EIA untuk pembinaan kilang memproses durian RPDP-PKPP pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KILANG MEMPROSES DURIAN RPDP-PKPP TIDAK TERTAKLUK PENYEDIAAN EIA

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Kilang memperoses durian Royal Pahang Durian Produce-PKPP Sdn Bhd (RPDP-PKPP) di kawasan Tras, Raub tidak tertakluk kepada keperluan penyediaan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, ini kerana penyediaan laporan EIA hanya melibatkan projek pembangunan yang membabitkan kawasan tanah lebih 20 hektar.

“Projek itu tidak tertakluk kepada keperluan EIA mengikut Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kepada Kesan Alam Sekeliling) 2015 kerana kawasan yang terlibat hanya 10.52 hektar (26 ekar) manakala untuk pembinaan kilang seluas 4.04 hektar (10 ekar).

“Malah cerun di kilang berkenaan pula hanya 30 darjah. Justeru untuk pembinaan kilang berkenaan adalah tidak memerlukan Laporan EIA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tras, YB. Encik Chow Yu Hui (DAP) mengenai keperluan laporan EIA untuk pembinaan kilang memproses durian RPDP-PKPP pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan daripada ADN Tras, beliau berkata, tiada isu pembayaran pampasan kepada mana-mana pekebun durian kerana kilang berkenaan dibina di atas tanah kerajaan.

“Soal kita kena bayar pampasan atau sebaliknya tidak timbul kerana kita bina kilang ini di atas tanah kerajaan. Jadi tidak ada isu sebenarnya,” jelasnya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download