Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika menjawab soalan menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Beserah, YB. Tuan Haji Andansura Rabu (PAS) berkenaan cadangan mewajibkan setiap anak berusia tujuh hingga 11 tahun mengikuti pengajian KAFA pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG SEDIA PERTIMBANG WAJIB KELAS KAFA

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 17 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang sedia untuk mempertimbangkan cadangan bagi mewajibkan semua anak-anak berusia tujuh hingga 11 tahun mengikuti pengajian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, setakat ini Kerajaan Negeri masih belum mewajibkan pelajar untuk mengikuti KAFA ini.

“Kerajaan Negeri lihat cadangan ini amat baik dan kita boleh pertimbangkan mewajibkan atau bagaimana… Kerana KAFA ini memberi kesan positif kepada anak-anak.

“Kita akui kelas pengajian KAFA mendapat sambutan hangat sama ada di kampung, taman dan bandar yang dilaksana dan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Pahang dengan bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Jadi, bagi memastikan kelas pengajian ini dapat dilaksanakan sebaik-baiknya dan Kerajaan Negeri sentiasa memberi komitmen dan galakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Beserah, YB. Tuan Haji Andansura Rabu (PAS) berkenaan cadangan mewajibkan setiap anak berusia tujuh hingga 11 tahun mengikuti pengajian KAFA pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM33.2 juta telah disalurkan JAKIM untuk bayaran elaun guru dan bantuan termasuk bantuan khas kewangan kepada Kerajaan Negeri.

Jelasnya, berdasarkan statistik, Kerajaan Negeri menerima peruntukan daripada JAKIM sejak 2015 ialah berjumlah RM29.3 juta, diikuti RM56.1 juta (2016) RM33.4 juta (2017), RM35.3 juta (2018) dan RM30.8 juta (2019).

“Di Pahang, terdapat sebanyak 3,620 buah KAFA dengan jumlah 74,116 pelajar berumur tujuh hingga 11 tahun,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 324 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download