Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi penangguhan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG SEDIA HADAPI BENCANA BANJIR

Oleh: Fairus Mohd & Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim & Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang sudah bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan dilanda bencana banjir dengan persiapan awal yang telah dilakukan sejak bulan lalu.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 98 tan bekalan barangan telah dihantar ke 118 pangkalan hadapan seluruh negeri bermula dengan Pulau Tioman pada 28 hingga 30 Oktober lalu.

“Saya gembira kerana persiapan awal telah dilakukan dengan penghantaran bekalan makanan dan sehingga kini, sebanyak 98 tan bekalan tersebut telah dihantar. Jika hendak dianalogikan, beratnya ialah bersamaan kira-kira 33 buah trak askar, setiap satunya seberat tiga tan!

“Bekalan tersebut akan diagih-agihkan ke 647 buah Pusat Pemindahan Sementara yang boleh memuatkan sehingga kira-kira 153,020 mangsa banjir dalam satu masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penangguhan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata semua yang terlibat juga perlu mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan usaha membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Saya amat berharap, semua pihak dapat akur kepada SOP ini agar jangan nanti dengan berlakunya banjir dan berlakunya pemindahan ke pusat-pusat pemindahan tersebut, wabak pandemik COVID-19 semakin menjadi-jadi pula,” katanya.

Mengakhiri ucapan sesi penangguhan Sidang Dewan Negeri kali ini, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menyampaikan penghargaan kepada Yang Berhormat, Tuan Yang Dipertua dan Yang Berhormat, Tuan Timbalan Yang Dipertua serta semua pihak kerana berjaya mengemudi dan melancarkan perjalanan persidangan selama lima hari bermula Isnin lalu.

“Penghargaan turut diberikan kepada penjawat awam negeri, pasukan-pasukan keselamatan khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM), petugas Jabatan Kesihatan, petugas belakang tabir, petugas-petugas kebersihan seperti ‘kakak-kakak cleaner’, juga kepada penyedia dan pengendali-pengendali makan minum.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada para wartawan, sama ada dalam kalangan mereka daripada entiti berita media sosial milik Kerajaan Negeri, mahupun daripada arus perdana,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 199 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: