Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda ketika membuat penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG KOMITED ATASI ISU PERUMAHAN RAKYAT

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang komited dalam membantu rakyat negeri ini bagi mengatasi isu perumahan menerusi pelbagai program perumahan bersesuaian dengan kemampuan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, kerajaan telah menyediakan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang, Rumah Makmur dan Rumah Rakyat Pahang (RRP) berdasarkan kelayakan dan kemampuan penduduk.

Jelasnya, kepada rakyat yang berkemampuan boleh membuat permohonan PR1MA Pahang berharga RM150,000, manakala Rumah Makmur pula berharga RM80,000.

“Sekiranya pembeli tersenarai dengan E-Kasih, tidak mempunyai slip gaji dan tidak berkemampuan untuk membeli rumah yang telah ditawarkan, mereka layak menerima RRP yang diberikan secara percuma berjumlah 98 unit di seluruh negeri.

“Kaedah pemilihan dilaksanakan oleh pemimpin setempat dengan menilai penerima yang benar-benar layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM290,000 bagi kerja memperbaiki rumah daif dan rosak dengan bantuan maksimum RM10,000 bagi sebuah rumah.

YB. Dato’ Abd. Rahim turut mengharapkan kerjasama orang ramai dalam usaha memperkasakan kesejahteraan dan kelestarian di semua bandar di negeri ini.

Beliau turut berkongsi pencapaian Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Majlis Perbandaran Bentong (MPB) yang diisytiharkan antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia.

MPK juga diiktiraf sebagai bandar mampan 2020 selepas Majlis Perbandaran Klang.

“InsyaAllah, pada tahun hadapan, MPK akan jadi Majlis Bandaraya Kuantan dan bagi tujuan itu, kita sangat mengharapkan kerjasama daripada penduduk Kuantan untuk sama-sama memberi sokongan dalam usaha mencapai sasaran itu,” katanya.

Kerajaan Negeri juga turut memperuntukkan sejumlah RM3.2 juta menerusi pengurangan bayaran sewa Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) bagi bulan April hingga Mei 2020 dalam membantu rakyat yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Kerajaan negeri turut memberikan bantuan one-off kepada 1,108 petugas PBT yang terlibat sepanjang PKP sebanyak RM200 seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM221,600.

Selain itu, bagi meneruskan kelangsungan sektor perniagaan ketika PKP dilaksanakan, kerajaan negeri menerusi PBT turut menggalakkan sistem penghantaran ke rumah / pejabat dijalankan oleh peniaga-peniaga makanan.

“Saya juga bersyukur kerana kerajaan telah meyalurkan peruntukan pembangunan PBT berjumlah RM92 juta bagi melahirka bandar sejahtera dan lestari,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 108 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: