Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB. Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin ketika perbahasan Belanjawan Negeri Pahang 2021 di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG DIMINTA CAMPUR TANGAN ISU TANAH DAN BAYARAN PAMPASAN ECRL

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 17 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang diminta campur tangan dalam isu pengambilan semula tanah dan bayaran pampasan kepada pengusaha sangkar ikan yang terlibat dengan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB. Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin berkata, isu ini berlaku akibat pengendalian yang kurang cermat kedua-dua pihak terlibat.

“Amat menyedihkan kerana projek yang begitu bermanfaat yang sepatutnya menjadi situasi menang-menang tidak berlaku sebaliknya menjadi tegang terutamanya kepada 12 pengusaha sangkar ikan yang terlibat.

“Jadi saya ingin menarik perhatian Kerajaan Negeri untuk campur tangan bagi menyelesaikan kemelut ini,” katanya ketika perbahasan Belanjawan Negeri Pahang 2021 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk juga memberitahu bayaran pampasan mereka juga masih belum diselesaikan oleh pihak terlibat.

“Penduduk yang tanah mereka termasuk laluan pembinaan ECRL merungut bahawa pampasan mereka masih belum diselesaikan sedangkan kerja-kerja pembinaan telah pun mula dijalankan.

“Ini menyebabkan penduduk merasakan seolah-olah pihak pemaju menceroboh tanah tanaman dan ternakan mereka kerana masuk tanpa notis,” katanya.

Selain itu, ADUN Kuala Semantan juga meminta Kerajaan Negeri memasukkan kawasan Taman Perindustrian Temerloh di dalam kawasan penumpuan wilayah ekonomi negeri ini selain tiga kawasan lain yang di sebut YAB Menteri Besar Pahang semalam melibatkan Taman Maritim Tanjung Agas, Taman Halal Gambang, dan Taman Teknologi Pahang.

“Memandangkan kawasan Temerloh-Mentakab akan menjadi laluan ECRL dan difahamkan akan dibina stesen utama berdekatan kawasan perindustrian Temerloh, saya ingin menyarankan Kerajaan Negeri memasukkan Taman Perindustrian Temerloh ini di dalam kawasan penumpuan wilayah ekonomi sebagai persediaan menghadapi penumpuan pada masa akan datang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 263 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download