Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Damak, YB. Tuan Haji Zuridan Mohd Daud (PAS), berhubung kutipan zakat di negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG AGIH RM146.8 JUTA ZAKAT KEPADA GOLONGAN SASARAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang menerusi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) membuat agihan zakat berjumlah RM146.8 juta pada tahun 2019 dengan hasil kutipan sebanyak RM157.6 juta pada tahun 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, menerusi agihan tersebut, sebanyak RM74.8 juta diagihkan kepada fisabilillah yang terdiri daripada golongan pelajar, RM30.7 juta diagih kepada golongan miskin dan RM18.8 juta kepada amil.

Katanya, MUIP telah mengadakan pelbagai program dan skim bantuan sebagai kemudahan kepada golongan asnaf bagi mendapatkan sumbangan zakat.

Antaranya adalah bantuan bulanan, baucar barangan kepada 3,569 penerima, bantuan hari raya kepada 25,482 penerima, bantuan am sara hidup termasuklah bantuan khas COVID-19, bantuan pendidikan, bantuan rawatan dan alatan perubatan kepada 533 penerima, bantuan baik pulih rumah kepada 80 penerima dan bantuan kursus latihan dan kemahiran kepada 173 penerima.

“Menerusi agihan zakat kepada golongan-golongan penerima akan dapat membasmi kemiskinan khususnya di negeri Pahang dengan pelbagai program dan skim bantuan yang disediakan bagi membantu golongan asnaf ini dalam merungkai permasalahan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Damak, YB. Tuan Haji Zuridan Mohd Daud (PAS), berhubung kutipan zakat di negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, MUIP juga aktif menghulurkan bantuan ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memperuntukkan RM15.1 juta bagi pelbagai bantuan khas bermula Mac hingga Jun 2020.

Beliau juga akan mempertimbangkan cadangan YB. Tuan Haji Zuridan agar MUIP menyediakan kursus atau latihan khas kepada golongan asnaf bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam usaha mendidik mereka agar berdikari. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 98 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: