Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang (PKR) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN NEGERI SERIUS ATASI GEJALA DADAH DI SEKOLAH

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melakukan program secara berkala bagi mengekang gejala dadah di kalangan pelajar sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sasaran yang diletakkan adalah sifar dadah dalam kalangan pelajar dan ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk membantu pelajar yang terlibat.

“Program pencegahan yang dijalankan oleh AADK ialah Program Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS) di peringkat sekolah menengah dan pelaksanaan Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR) bagi murid-murid sekolah rendah.

“Program lain seperti ceramah dan pameran antidadah terus dilaksanakan selain program Family On Alert, Skuad, Community Empowerment dan TEKAD sebagai medium yang menyumbang keberkesanan program pencegahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang (PKR) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan seramai 50 orang pelajar sekolah menengah di Pahang terlibat gejala dadah di mana 37 orang daripadanya dikesan positif dadah hasil ujian saringan air kencing yang dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, jumlah itu dikesan hasil ujian saringan yang dijalankan pelajar di sekolah menengah seluruh negeri sehingga 30 September lalu.

Menjawab pertanyaan tambahan YB. Encik Sim mengenai penglibatan guru dalam gejala tidak sihat itu, beliau berkata pihaknya masih belum memperoleh data itu. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 381 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download