Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Haji Md Zain ketika ketika perbahasan Belanjawan Negeri Pahang 2021 di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN NEGERI DISARAN WUJUD RUMAH TRANSIT BAGI BELIA

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 17 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang disaran mewujudkan rumah transit bagi belia yang masih tidak berkemampuan untuk membeli rumah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Haji Md Zain berkata, rumah transit ini adalah bagi belia yang tidak mampu membeli rumah namun memerlukan kediaman yang selesa kerana mempunyai keluarga.

“Kita boleh mengambil contoh rumah transit yang diamalkan di Kuala Lumpur dan Selangor yang mana belia yang sudah berkahwin boleh menyewa di rumah transit selama dua tahun sebelum keadaan ekonomi mereka bertambah baik bagi membolehkan mereka membeli rumah sendiri.

“Saya percaya sekiranya rumah transit ini dilaksanakan, ia mampu membantu belia kita yang tengah kesempitan untuk sekurang-kurangnya duduk di rumah yang lebih selesa sebelum mereka berkemampuan untuk membeli rumah,” katanya ketika perbahasan Belanjawan Negeri Pahang 2021 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau turut mencadangkan dana khas RM10 juta yang diberikan sebagai bantuan awal perniagaan kepada golongan muda di negeri ini diperluaskan dalam bentuk pinjaman mikro kredit kepada belia yang telah mempunyai perniagaan.

“Saya mencadangkan pinjaman mikro kredit ini diberi kepada usahawan belia yang telah pun mempunyai perniagaan dan memerlukan bantuan untuk membesarkan lagi perniagaan.

“Mikro kredit yang diberikan hendaklah bersifat membantu dan cuba untuk mengurangkan birokrasi seboleh mungkin supaya bilangan usahawan yang mendapat manfaat dimaksimumkan,” katanya.

Beliau juga turut mencadangkan dana khas yang diperuntukkan ini juga seharusnya memberi manfaat dari segi latihan berterusan untuk belia.

“Latihan berbentuk upskilling dan reskilling iaitu peningkatan kemahiran dan kemahiran semula bagi belia bagi mendepani cabaran pandemik Covid-19,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 209 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download