Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KEDUDUKAN KEWANGAN SEMAKIN KUKUH

Oleh : Fansurina Abdullah dan Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020 : Kedudukan kewangan negeri Pahang yang kukuh membolehkan kerajaan negeri mengumumkan belanjawan 2019 bernilai RM703.8 juta dan merekodkan kejayaan pencapaian sehingga 120 peratus.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kutipan hasil sebenar sehingga akhir 2019 mempunyai lebihan sebanyak RM143.5 juta bersamaan dengan 20 peratus.

Manakala, Belanjawan Negeri 2020 pula bernilai RM744.02 juta yang dibentang pada 18 November 2019 juga dijangka bakal melepasi paras 100 peratus menjelang 31 Disember 2020.

“Dengan ini, tentu lebih banyak yang dapat Kerajaan Negeri lakukan termasuk memulangkannya semula kepada rakyat menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang baru diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Pada Sidang Dewan Negeri kali ini juga, seramai 14 ahli daripada parti Barisan Nasional (BN) dan lapan ahli daripada PAS telah bersetuju membuat potongan 10 peratus daripada elaun selama tiga bulan bermula November 2020 hingga Januari 2021.

“Ini menunjukkan keprihatinan Ahli-ahli Yang Berhormat ketika negeri melalui tempoh yang sukar akibat penularan wabak pandemik COVID-19 yang masih belum reda di peringkat negara ketika ini,” katanya.

Menyentuh isu pengurusan hutan, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini kira-kira 1.55 juta hektar dan angka ini kekal stabil kerana kerajaan mempraktikkan amalan pengurusan hutan secara berkekalan agar kawasan hutan tetap terpelihara.

“Daripada 1.55 juta hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) tersebut, seluas 999,158 hektar atau 64.43 peratus boleh dibalak manakala bakinya seluas 551,528 hektar atau 35.57 peratus ialah hutan yang tidak boleh dijalankan pembalakan atas sebab-sebab tertentu termasuk sebagai kawasan tadahan air yang sangat sensitif,” katanya.

Dalam perkembangan lain, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menjelaskan tentang peruntukan RM92.5 juta melibatkan enam projek iaitu bekalan air Raub sebanyak RM12 juta, bekalan Air Kuantan Fasa 3 sebanyak RM10.5 juta, bekalan Air Karak sebanyak RM10 juta, bekalan Air Lipis, sebanyak RM8 juta, bekalan Air Nenasi, sebanyak RM5 juta dan projek pemindahan Air Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Kuantan, sebanyak RM47 juta.

Beliau turut menyentuh isu hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat bernilai RM1 billion yang akan dilupuskan susulan langkah penstrukturan semula air di seluruh negara.

“Kerajaan Negeri juga tidak perlu menyuntik modal kepada Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) bagi Perbelanjaan Modal (CAPEX) baharu, memandangkan PAIP boleh memohon pinjaman baharu terus kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB),” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) akan mempercepatkan kerja pembangunan di kawasan Taman Industri Minyak dan Gas dan Maritim Tanjung Agas, Pekan.

Beliau mengakui, hampir kesemua prasarana asas telah lengkap di kawasan seluas 1,710 hektar itu.

PKNP dan syarikat pemaju TGA Solutions Sdn Bhd kini sedang memuktamadkan terma dan syarat bersama beberapa pelabur asing sebelum pembangunan semula dapat dimulakan.

Berhubung Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus, beliau berkata, ianya akan berfungsi sebagai pemantau kepada pelaksanaan strategi jangka pendek dan panjang seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat.

“Kajian Pelan Pembangunan ini akan dirangka oleh Kerajaan Negeri dengan bantuan pihak perunding yang dilantik dengan mengambil kira tiga aspek utama iaitu pelaburan, infrastruktur, pembangunan modal insan.

Beliau turut mengulas cadangan untuk mewujudkan semula Lembaga-lembaga Kemajuan Wilayah Pahang Tenggara (DARA) dan Jengka atau LKWJ yang telah dibubar pada 1997 dan gesaan terhadap Kerajaan Pusat mengenai royalti minyak sebanyak RM100 juta yang dijanjikan kepada Pahang.

Selain itu, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM752,700 kepada 15,054 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai pesediaan menghadapi peperiksaan tersebut tahun depan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 430 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: