Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: JAMBATAN KEDUA TANJUNG LUMPUR DIJANGKA DIBUKA TAHUN DEPAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 18 NOVEMBER 2020: Jambatan Kedua Tanjung Lumpur di sini dijangka dapat dibuka sepenuhnya kepada orang ramai pada awal tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, jambatan kedua tersebut kini dalam proses pewartaan sebelum dapat dibuka kepada orang ramai.

“Sekarang jambatan tersebut dalam proses pewartaan dan dijangka siap diwartakan insyaAllah pada awal tahun hadapan.

“Dan selepas itu jambatan itu akan boleh dibuka untuk kegunaan orang ramai,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

ADN Teruntum dalam masa yang sama turut mencadangkan Kerajaan Negeri supaya membina sebuah jeti di Serambi Teruntum bagi mengelakkan kesesakan di Menara Kuantan 188.

“Menara Kuantan 188 bakal menjadi mercu tanda baharu bandar Kuantan dan akan menjadi daya tarikan pelancong di Bandar Kuantan tetapi dari segi faktor keselesaan pengunjung juga perlu diambil kira. Tempat letak kenderaan yang agak terhad bimbang akan mengakibatkan kesesakan.

“Saya mencadangkan supaya membina satu jeti di Serambi Teruntum yang membawa pengunjung menyusuri Sungai Kuantan dan membawa ke perhentian seterusnya iaitu jeti di bandar Kuantan,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan jeti ini juga dapat menarik lebih ramai pengunjung disamping memberi faedah kepada penduduk setempat.

“Bot yang membawa pengunjung juga mestilah mengenakan kadar bayaran yang berpatutan supaya perkhidmatan tersebut dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat.

“Selain itu, ianya dapat menjadi salah satu daya tarikan baru yang terdapat di bandar Kuantan dan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Menara Kuantan 188 sekaligus menghidupkan Serambi Teruntum,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 372 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download