Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bilut, YB. Encik Lee Chin Chen (DAP) berhubung penggunaan tulisan jawi pada papan tanda premis pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: HANYA RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM TERKECUALI MEMASANG PAPAN TANDA JAWI

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Mohd Mahathir Mohd Ali

KUANTAN, 18 NOVEMBER 2020 : Perlaksanaan pemerkasaan tulisan Jawi di papan tanda premis perniagaan adalah menyeluruh dan tiada pengecualian terhadap mana-mana pihak termasuklah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau Persatuan Cina kecuali rumah-rumah ibadat bukan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, arahan tersebut telah dimasukkan ke dalam syarat pembaharuan lesen perniagaan premis.

Beliau berkata, sehingga 30 September 2020, sebanyak 198 kompaun telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri kepada pemilik premis.

“Pecahan kompaun yang dikeluarkan mengikut PBT adalah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dengan 115 kompaun dikeluarkan, Majlis Perbandaran Bentong dengan 11 kompaun, Majls Daerah Maran 4 kompaun, Majlis Daerah Rompin 24 kompaun dan Majlis Daerah Raub dengan 44 kompaun,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bilut, YB. Encik Lee Chin Chen (DAP) berhubung penggunaan tulisan jawi pada papan tanda premis pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengeluaran kompaun ini bukan sahaja kepada premis perniagaan sahaja tetapi juga melibatkan beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang gagal memasang tanda tulisan Jawi.

“Pada permulaan arahan penggunaan tulisan Jawi, saya turut menerima aduan menyatakan bahawa fengshui tidak bagus dan kos untuk menurunkan papan tanda. Kerajaan Negeri tidak pernah menyuruh menurunkan papan tanda.

“Tulisan Jawi bukan menggambarkan agama Islam tetapi adalah budaya Melayu malah pada zaman British pun kita telah menggunakan tulisan Jawi,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 289 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download