Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab Moin

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: DANA KHAS PERNIAGAAN RM10 JUTA DISARAN DIAGIH SAMA RATA SETIAP DAERAH

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 18 NOVEMBER 2020 : Pengagihan dana khas perniagaan berjumlah RM10 juta yang diumumkan oleh Menteri Besar Pahang dalam pembentangan Belanjawan 2021 Negeri Pahang diharapkan dapat diagihkan secara sama rata kepada golongan belia di setiap daerah di negeri ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab Moin berkata, agihan tersebut diharap dapat diselaraskan dengan sebaik mungkin oleh pihak yang berkaitan.

“Dana ini adalah sesuatu yang memberi erti dalam suasana kepayahan ketika ini. Saya ingin mencadangkan dana anak muda RM10 juta ini diagihkan ke seluruh daerah sebanyak sama rata.

“Kalau RM10 juta diberi RM2,000 bantuan kepada seorang, maka kita akan dapat bantu hampir 5,000 orang di seluruh negeri Pahang. Iaitu lebih kurang 450 orang satu daerah.

“Kalau boleh agihan ini biarlah dapat diselaraskan sebaik mungkin oleh jentera-jentera jabatan yang berkaitan dan jangan dirumitkan memandangkan situasi sekarang sudah cukup sukar bagi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini

Beliau juga mencadangkan Kerajaan Negeri dengan bantuan agensi berkenaan untuk menjalankan program berkaitan keusahawanan kepada belia di negeri ini.

“Saya cadangkan pihak agensi kerajaan juga harus menyusun program tersendiri bagi membina dan menyuburkan budaya keusahawanan dan membina usahawan-usahawan di seluruh negeri Pahang ini.

“Saya kira Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) khususnya, ada objektif tersendiri untuk membina usahawan ini dan boleh menyalurkan sumber-sumber tertentu, bukan sahaja membantu dari segi kewangan tapi juga menyuburkan kegiatan-kegiatan berkaitan perniagaan di kalangan anak-anak muda,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 494 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: