Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah YB Tuan Ir. Razali Kassim ketika perbahasan Belanjawan Negeri Pahang 2021 di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: CADANG PERMIT PERAIRAN BAGI BANTU SEKTOR PELANCONGAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 17 NOVEMBER 2020: Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah mencadangkan Kerajaan Pahang mengenakan permit masuk ke ruang perairan negeri ini bagi membantu membangunkan sektor pelancongan negeri.

YB. Tuan Ir. Razali Kassim berkata, permit ini dikhaskan untuk memasuki ruang perairan khasnya untuk aktiviti rekreasi memancing atau sukan memancing yang bersifat pelancongan.

“Apabila berlaku pandemik COVID-19, kita semua dapat melihat berlakunya penyusutan hasil ekonomi terutamanya sektor pelancongan. Saya berpandangan pihak kerajaan masih ada ruang dalam menerokai menambahkan hasil daripada sumber-sumber lain terutama dalam sektor yang lebih berdaya tahan (sustainable).

“Saya mengambil contoh aktiviti memancing rekreasi yang mana aktiviti ini merupakan salah satu cabang kepada sektor pelancongan,” katanya ketika perbahasan Belanjawan Negeri Pahang 2021 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, permit ini akan dikenakan kepada mereka yang ingin melakukan aktiviti di perairan negeri tetapi dikecualikan daripada nelayan tempatan yang berdaftar.

“Seperti yang kita maklum, pada masa dan ketika ini, sesiapa sahaja boleh memasuki perairan kita bagi tujuan memancing sebagai salah satu aktiviti rekreasi secara percuma tanpa dikenakan sebarang caj.

“Mereka hanya perlu menyewa bot dengan pengusaha bot tempatan bagi tujuan tersebut.  Jika pihak kerajaan sebelum ini boleh mengenakan permit berbayar contohnya kepada pengunjung yang memasuki hutan simpan, mengapa tidak kita wujudkan permit berbayar untuk memasuki ruang perairan dan caj ini mestilah dikecualikan kepada nelayan-nelayan tempatan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan,” katanya.

Beliau berkata, hasil kutipan fi atau permit ini kemudiannya boleh dilaburkan semula bagi tujuan baik pulih dan pembangunan ekosistem marin di perairan negeri ini.

“Hasil daripada kutipan permit ini, boleh digunakan bagi membina lebih banyak tukun-tukun tiruan sebagai alternatif terbaik pada masa ini kepada terumbu karang bagi tujuan pembiakan ikan.

“Kewujudan ikan-ikan besar inilah yang diperlukan dan merupakan faktor utama tarikan kepada para pemancing rekreasi ini mendapatkan hasilnya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 205 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: