Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Norolazali Sulaiman ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemayan, YB. Dato' Mohd Fadil Osman (BN) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: 85,929 PREMIS DIPERIKSA SEJAK PKP DILAKSANAKAN

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Pihak berkuasa telah melakukan sebanyak 85,929 pemeriksaan ke atas premis-premis di negeri ini bagi memastikan mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,668 kesalahan ditemui dan 713 bilangan kompaun telah dikeluarkan.

“Pihak berkuasa juga telah mengarahkan 60 premis ditutup kerana melanggar SOP yang ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemayan, YB. Dato’ Mohd Fadil Osman (BN) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

YB. Dato’ Sri Norolazali menjelaskan, pelanggaran SOP PKP dan arahan kuarantin merupakan kesalahan yang boleh dikompaun bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan-Kesalahan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Saman atau kompaun merupakan salah satu tindakan penguatkuasaan yang telah digazetkan di bawah peraturan dan akta tersebut.

“Tindakan ini sendiri dapat memberikan pengajaran dan meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat kerana nilai kompaun yang dikenakan adalah tinggi iaitu RM1,000 dan tiada pengurangan dibenarkan,” katanya.

Katanya lagi, selain kompaun, tindakan undang-undang lain adalah penutupan premis sekurang-kurangnya tiga hari boleh dikenakan ke atas semua premis yang tidak mematuhi SOP.

“Tindakan ini juga boleh memberikan pengajaran kerana menyebabkan kerugian kepada pemilik premis. Tindakan pendakwaan di mahkamah akan dilaksanakan di mana nilai denda yang lebih tinggi,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 176 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: