Calon BN PRK N23 Chini, Mohd Sharim Md Zain menyantuni warga emas sambil diperhatikan Pengerusi BN Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melakukan aktiviti ziarah di Kampung Salong, Pekan, hari ini.

SHARIM TELAH BERTEMU HAMPIR 40 PERATUS PENGUNDI DALAM EMPAT HARI KEMPEN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim & Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 23 JUN 2020 : Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) Chini, Mohd Sharim Md. Zain telah bertemu hampir 40 peratus pengundi dalam tempoh empat hari berkempen.

Pengerusi BN Pahang yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata calon seharusnya bertemu dengan seramai mungkin pengundi dalam tempoh berkempen ini.

“Dan tadi kita tanya calon, berapa ramai dah (kempen) dan boleh dikatakan 30 peratus, 40 peratus telah sampai dan beliau akan terus bergerak secara seperti mana yang diarahkan oleh SPR.

Pengerusi BN Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Calon BN PRK N23 Chini, Mohd Sharim Md Zain bermesra dengan warga emas ketika melakukan aktiviti ziarah di Kampung Salong, Pekan, hari ini.

“Kita tidak membuat kempen secara besar-besaran, maksimum 250 orang, rumah ke rumah kita pergi dengan kadar yang paling sedikit 20 orang dan memang keadaannya nampak lebih tenang, lebih aman dan bagi calon Barisan Nasional seharusnya kena jumpa seramai mungkin pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan ziarah bersama Mohd. Sharim di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Salong di sini hari ini.

Mengulas mengenai suasana kempen yang dilihat sunyi dan tenang tanpa perang bendera di sekitar kawasan ini, beliau berkata pemasangan bendera dan poster akan dijalankan dalam masa yang terdekat.

“Jentera yang digunakan dengan kadar yang sangat minimum, tidak seperti dulu lah. Dan kita boleh lihat, namun suasana itu tetap ada. Walaupun pergerakan agak terhad, kena mematuhi SOP, tidak boleh berkumpul seperti mana dulu, tapi kita nampak suasana tu ada juga tapi dalam keadaan yang agak berbeza.

“Bendera ada sikit-sikit. Sekarang ini dalam proses. Saya ingat dalam sehari dua adalah (pemasangan bendera),” katanya.

Pengerusi BN Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Calon BN PRK N23 Chini, Mohd Sharim Md Zain dan rombongan mereka melakukan aktiviti ziarah di Kampung Salong, Pekan, hari ini.

Beliau berkata kempen oleh pihak pembangkang yang menggunakan media sosial secara agresif bukanlah perkara yang luar biasa dalam keadaan penularan wabak COVID-19 ini.

“Sekarang ini pergerakan kita terhad, semua yang bertanding kita akan gunakan secara maksimum media sosial. Jadi apa yang digunakan oleh Tun juga perkara biasa bukan sesuatu yang luar biasa (dalam berkempen),” katanya.

Beliau juga turut melahirkan keyakinan untuk memenangi PRK Chini kali ini dengan kerjasama bersama Muafakat Nasional.

“Kita yakin InsyaAllah jika dilihat atas kertas dan lebih-lebih lagi sekarang kita ada Muafakat Nasional, PAS bersama-sama dengan Barisan Nasional.

“Namun begitu, kita akan terus dan tidak akan mengambil mudah, kita akan terus berkempen dan kita tidak kira siapa yang menjadi lawan kepada kita, usaha kita akan diteruskan bagi memastikan kita mendapat majoriti yang lebih daripada biasa,” katanya.

Untuk rekod, terdapat 20,990 pengundi berdaftar bagi DN Chini dengan 18 daripadanya merupakan pengundi awal. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: