Oleh: Fairus Mohd & Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 20 JUN 2020: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Negeri Chini (N23) mengaku sebak selepas diumumkan sebagai calon sah pada penamaan yang diadakan, pagi tadi.
Menurut Mohd Shahrim Md Zin, 41 perasaan tersebut muncul apabila terkenang kembali saat menjadi tulang belakang kepada perjuangan Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun atau lebih mesra dikenali Dato’ Burn oleh masyarakat tempatan.
“Saya bukanlah seorang insan sempurna, tetapi apabila saya diberi kepercayaan dan amanah sudah semestinya saya mengambil tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.
“Saya anak peneroka, generasi kedua Felda yakin akan menerima sokongan baik daripada masyarakat di kawasan Felda, kampung tradisi dan kampung Orang Asli bawah DN Chini apatah lagi saya biasa dengan penduduk kerana sering mengiringi Allahyarham menjalankan tugas, sebagai wakil rakyat,” katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai calon BN pada hari penamaan di dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.
Pada PRK Chini 4 Julai depan, BN ditentang dua calon Bebas iaitu Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pekan, Bebas, YM. Tengku Dato’ Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.
Ketika ditanya mengenai perjuangannya sebagai calon, Sharim menjelaskan bahawa dia akan menyelesaikan isu serta urusan berkaitan rakyat yang belum sempat ditangani Allahyarham.
Mohd Sharim berkata, walaupun dilihat berdepan laluan mudah kerana hanya ditentang dua calon Bebas, namun kempen akan diteruska oleh jentera daripada Muafakat Nasional dan gabungan Parti Perikatan Nasional.
“Jentera pilihanraya daripada rakan gabungan sudah bersiap sedia untuk berkempen dan kita nekad bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi.
“Walaupun ada kekangan normal baharu kerana pandemik Covid-19, tetapi kita perlu mematuhi garis panduan yang sudah ditetapkan
“Malah, saya mahu memastikan kempen bukan hanya di kawasan Felda, kampung tradisi dan kampung Orang Asli,” katanya. – PAHANGMEDIA