Senarai Sekolah Agama Berdaftar Dipamer Pejabat Agama Negeri

KUANTAN: Kerajaan Negeri akan meletakkan senarai sekolah agama dan tahfiz yang berdaftar di setiap pejabat agama seluruh negeri ini bagi memudahkan orang ramai membuat rujukan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, senarai ini akan menyenaraikan sekolah agama, tahfiz dan pondok yang telah diperakui oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

“Saya akan minta pejabat agama dan jabatan agama untuk meletakkan senarai sekolah-sekolah pondok yang diperakui oleh MUIP di pejabat masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Akidah Syariah ‘Sesat Dalam Cahaya’ Peringkat Negeri Pahang 2019 di Yayasan Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Tuan Haji Ab. Razak Abu Musa Saari, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Tuan Haji Zakaria Mohamad dan Imam Besar Masjid Negeri Sembilan Dr. Muhammad Yusry Mazlan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memilih sekolah agama yang dibina oleh Kerajaan Negeri sebelum menghantar anak mereka untuk menyambung pelajaran.

“Kita ada 18 buah sekolah agama. Sekolah ini diwar-warkan kononnya tidak muat…Bukan tidak muat tetapi orang luar dari Pahang yang datang masuk, orang Pahang tak ambil peluang ini.

“Jadi kita nasihatkan rakyat negeri ini supaya bila tawaran untuk masuk ke sekolah agama itu dibuka, mereka perlu memohon,” katanya.

Antara peserta Seminar Pencegahan Jenayah Akidah Syariah ‘Sesat Dalam Cahaya’ Peringkat Negeri Pahang 2019 di Yayasan Pahang.

Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil kepada sekolah agama yang tidak berdaftar sehingga 31 Disember ini, beliau berkata kerajaan sudah mengambil beberapa langkah.

“Kita tidak tahu sekolah mana yang tidak memohon (pendaftaran) kerana sekarang orang bina pondok dalam kebun dan sebagainya.

“Kalau kita tahu (sekolah tidak berdaftar), kita akan pergi jumpa, bagi nasihat, kaunseling supaya dia daftar. Kalau dia (pengusaha) tidak berminat kita akan buat penguatkuasaan, panggil mereka. Kalau masih berdegil, pihak MUIP akan kuatkuasakan untuk perintah tutup,” katanya.



 100 total views,  2 views today

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *