Semua Premis Perniagaan Wajib Pamer Papan Tanda Tulisan Jawi

Oleh Ain Nadhirah Basha 

KUANTAN 21 NOVEMBER 2019 : Semua premis perniagaan di negeri ini wajib mempamerkan papan tanda menggunakan tulisan Jawi bermula 1 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Encik Abd Rahim Muda berkata, Kerajaan Negeri tidak akan memberikan sebarang tempoh lanjutan bagi pelaksanaan ini.

“Kita sudah beri tempoh hampir setahun untuk menggunakan tulisan Jawi, jadi tiada lagi tempoh lanjutan akan diberikan.

“Peniaga perlu mematuhi arahan menggunakan tulisan Jawi di semua papan tanda dan iklan milik mereka kerana tempoh ini akan berakhir pada 31 Disember ini seperti yang dimaklumkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Encik Sim bertanyakan soalan memohon tempoh lanjutan sehingga Mac 2020 bagi pelaksanaan tulisan Jawi di premis perniagaan yang diwajibkan pada 1 Januari ini.

Beliau meminta tempoh lanjutan berikutan tempoh berbaki yang singkat bagi peniaga papan tanda untuk menyiapkan tempahan papan tanda baharu daripada para peniaga.

Namun, Encik Abd. Rahim menegaskan tiada sebarang tempoh lanjutan akan diberikan dan akan mengikut tarikh penguatkuasaan seperti mana yang dimaklumkan.

“Sekiranya peniaga didapati ingkar, mereka akan berhadapan tindakan kompaun,” katanya.

Beliau turut menambah, peniaga juga boleh menampal tulisan Jawi di papan tanda perniagaan mereka dan tidak perlu membuat papan tanda yang baharu.

“Tampal sahaja… Tidak perlu tempah iklan baharu dan Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT) boleh membantu,” katanya.

 74 total views,  2 views today

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *