SEMUA MASJID DIMINTA ADAKAN SOLAT HAJAT, DOA KESEJAHTERAAN KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG

KUANTAN, 23 SEPTEMBER 2020: Semua masjid di negeri ini diminta untuk mengadakan Solat Hajat selamat tiga hari bagi memohon kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang kini sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ini adalah susulan arahan Menteri Besar Pahang, YAB Dato Sri’ Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Mesyuarat EXCO hari ini yang meminta semua masjid di Pahang mengadakan Solat Hajat.

“Justeru pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sudah menghantar surat kepada Kadi-Kadi Daerah untuk meminta masjid di bawah kelolan mereka mengadakan Solat Hajat.

“Solat Hajat itu perlu bermula pada waktu Maghrib hari ini sehingga Solat Jumaat, 25 September ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Sementara itu, Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan Solat Hajat berkenaan akan diadakan selama tiga hari berturut-turut selepas Solat Maghrib dan Solat Jumaat.

“Justeru umat Islam di daerah ini diundang untuk sama-sama menghadiri Solat Hajat berkenaan dan sama-sama memohon agar Allah SWT mengurniakan kesejahteraan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong,” kata kenyataan itu hari ini.

Semalam Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, KDYMM Tuanku dimasukkan di Wad Diraja, IJN selepas mengadu kurang selesa dengan kesihatan baginda.

“KDYMM Tuanku telah dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor ketika ini dan Seri Paduka Baginda tidak berada dalam keadaan yang membimbangkan.

“Baginda juga diijangka akan dibenarkan keluar dari IJN dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: