Keadaan banjir di Pekan.

SEMUA CUKUP DAN SELESA DI PPS – MANGSA BANJIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha

PEKAN, 09 JANUARI 2021 : “Semua benda cukup dan selesa walaupun beza sedikit sebab kena ikut SOP, ” itu kata mangsa banjir, Mohd Ali Muda.

Mohd Ali, 55, yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Tanjung Lepar berkata, mereka menerima bekalan barang keperluan yang mencukupi daripada pengurusan PPS.

Mohd Ali Muda.

“Kemudahan daripada segi khemah, makanan, selimut semua memang mencukupi. Tak ada masalah. Beza sikit bila banjir sebelum ini, dalam PPS ni padat, tapi kali ni khemah ada sikit untuk penjarakkan dan SOP, jadi lapang,” katanya.

Dia yang berpindah ke PPS ini sejak dua hari lepas bersama isteri dan dua anak berkata, rumahnya ditenggelami air sehingga paras bumbung.

“Memang tiap tahun banjir tapi kali ni tinggi daripada biasa. Kalau biasa air masuk dalam paras pinggang je dalam rumah.

“Alhamdulillah barang dan dokumen penting memang dah selamatkan awal-awal sebab memang bila masuk musim hujan, kita siap pindah dan simpan semua barang,” katanya.

Seramai 54 mangsa daripada 15 keluarga dari Kampung Tanjung Lepar, ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka sejak 3 Januari lepas.

Sementara itu, Norazian Mat Din, 54, dari PPRT Kampung Padang Rumbia berkata dia bersyukur kerana ditempatkan di PPS kerana tidak mempunyai tempat lain untuk dituju.

“Syukur ada PPS ni, tak payah pindah jauh-jauh, selesa dan semua keperluan cukup untuk saya sekeluarga. Orang lain ada yang pindah rumah adik beradik atau saudara di kampung lain, tapi saya tak ada tempat lain untuk pergi kalau tak ada PPS ini,” katanya.

Norazian Mat Din

“Kalau sebelum ni tak pernah masuk PPS ni kecuali masa banjir besar tahun 2014. Tapi tahun ni air masuk dalam rumah sampai paras betis, jadi terpaksa pindah juga ke sini,” katanya.

Menurut Siti Nor Fatimah Mohd Jani, 30, dia dan keluarga mengambil keputusan untuk berpindah setelah air semakin tinggi sehingga mencecah tangga rumahnya.

“Sebenarnya semalam lagi suami suruh pindah ke PPS, tapi saya ingatkan air akan turun hari ni macam sebelum ni tambah rumah saya tinggi.

“Tapi bila laluan keluar pun dah tak boleh lalu dan terpaksa guna bot, saya terpaksa keluar dan pergi ke PPS,” katanya yang mengalami banjir pada 2014.

Setakat 7 petang, laluan ke Kampung Ubai telah dinaiki air sedalam 0.6 meter sejauh 2 kilometer dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 870 total views,  11 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download