Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
PEKAN, 4 JULAI 2020: Menyelesaikan masalah penduduk Chini akan menjadi fokus utama Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini yang baharu, YB. Mohd Sharim Md Zain selepas beliau menjadi wakil rakyat rasmi kawasan itu hari ini.
YB. Mohd Sharim ketika ditemui berkata, beliau akan mengotakan janji-janji untuk menjadi suara kepada masyarakat Chini.
“Sekarang masa untuk saya belajar dan bekerja. Saya mohon diberikan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan pemilihan saya sebagai calon juga tidak pernah diimpikan.
“Saya berjanji melakukan sehabis baik dan mohon semua yang lain sama-sama mendoakan saya supaya terus istiqamah dalam perjuangan,” katanya ditemui di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, dekat sini, malam ini.
Katanya lagi, beliau yakin di belakangnya ada ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pastinya akan dapat dibantu dan diberikan perhatian berkaitan masalah masyarakat Chini.
YB. Mohd Sharim daripada BN meraih 13,872 undi daripada keseluruhan 15,231 pemilih berdaftar yang keluar mengundi di kerusi DN itu hari ini.
Calon Bebas pula, YM. Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli masing-masing memperoleh 1,222 dan 137 undi.
Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberikan sokongan kepadanya sehingga menang besar dalam PRK itu dengan majoriti 12,650 undi yang diakui melebihi jangkaan.
“Saya lahirkan ucapan terima kasih kepada semua pengundi dan warga Chini, masyarakat Felda, kampung tradisional, dan masyarakat orang Asli termasuk anak perantau yang balik mengundi saya.
“Saya ucapkan terima kasih atas kepercayaan kepada semua pemimpin BN yang memberi sokongan sepenuhnya kepada saya sebagai calon.
“Saya zahirkan juga terima kasih kepada semua jentera BN dan juga kepada Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional yang telah membantu di Chini,” katanya lagi. – PAHANGMEDIA