Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 2 JUN 2020: “Saya rasa sangat terharu, sebak sangat rasanya, Alhamdulillah,” itu luah Sara Mat, 72, yang menerima kad raya daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.
Video warga emas yang sebak selepas mendapat kad raya itu itu turut dikongsi oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang di laman Instagram baginda hari ini.
Menurut warga emas yang tingg di Kampung Lebak Seberang, Temerloh itu, dia sangat terharu dengan kurniaan kad raya daripada KDYMM Pemangku Raja itu.
“Baginda seorang Raja yang baik, Raya yang mesra rakyat. Syukur Alhamdulillah, bertuah negeri Pahang ye. Saya juga mendoakan supaya Tuanku dirahmati Allah SWT dan panjang umur.
“Saya harap Baginda dapat memerintah Pahang dengan seadilnya dan semua rakyat Pahang sayang dengan Tuanku,” katanya dalam video berdurasi 50 saat itu.
Difahamkan kad raya berkenaan disampaikan oleh Penghulu Mukim Lebak, YM. Ungku Hasbar Shah Ungku Abdul Arif di rumah pesara jururawat desa, semalam.
KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal sebelum ini mengirimkan kad raya kepada rakyat Pahang tanpa mengira latar belakang.
Selain ucapan sempena sambutan Aidilfitri, kad berwarna hitam itu turut dihiasi dengan wajah Tuanku. – PAHANGMEDIA