Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB Dato’ Haji Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah (tengah) ketika majlis penyampaian sumbangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bersama badan bukan kerajaan (NGO) berupa dapur gas, periuk nasi, beras, dan barangan dapur di Sungai Lembing hari ini.

“SAYA MEMANG SANGAT MEMERLUKAN BANTUAN”

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 18 JANUARI 2021: “Bersyukur sangat kerana memang saya sangat memerlukan bantuan berupa barangan dan peralatan dapur ini yang sebelum ini rosak akibat rumah saya dinaiki air banjir baru-baru ini,” ujar Puan Selamah Mohamad.

Puan Selamah, 70, berkata, rumahnya merupakan rumah pertama yang dinaiki air di kawasan Sungai Lembing dalam banjir yang menjejaskan keseluruhan kawasan berkenaan.

“Pada mulanya hanya setakat betis sahaja sebelum naik lagi sekali sampai paras bumbung rumah. Ada peralatan yang sempat saya pindahkan sebelum air mulai naik tetapi barangan seperti peti ais, mesin basuh dan periuk nasi rosak,” katanya.

Puan Selamah Mohamad di hadapan rumahnya di Sungai Lembing.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menerima barangan barangan yang disumbangkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bersama badan bukan kerajaan (NGO) berupa dapur gas, periuk nasi, beras, dan barangan dapur di sini hari ini.

Sebanyak 110 keluarga terjejas banjir dari Kampung Pancing dan Sungai Lembing telah menerima sumbangan yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB Dato’ Haji Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah.

Katanya lagi, sumbangan ini dapat membantunya yang tinggal bersama dua anak termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

Selain itu, Puan Selamah turut melahirkan rasa berterima kasih kepada Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Encik Mohd Shahar Abdullah yang memberi bantuan membina satu tingkat lagi kepada rumah asalnya menjadikan rumahnya dua tingkat.

“Terima kasih juga kepada YB. Encik Mohd Shahar yang mencari orang untuk tambah setingkat lagi rumah saya baru-baru ini. Jadi banyak barang dapat dipindahkan ke rumah atas bila banjir, lega sikit hati,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima sumbangan, Encik Talib Kidam, 77, dari Kampung Melayu Sungai Lembing berkata, dia berterima kasih dengan bantuan yang diberikan ini memandangkan dia sekeluarga terpaksa berpindah ke rumah lain selepas banjir.

“Rumah saya rosak teruk bila banjir sebab rumah dah uzur. Jadi terima kasih dengan bantuan yang dapat hari ni. Saya sekarang menyewa rumah wakaf berdekatan masjid sementara menunggu rumah bantuan oleh pihak Kerajaan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download