Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN 30 JUN 2020: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyasarkan sebanyak 800 komuniti akan mendapat manfaat menerusi Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, baru-baru ini
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, justeru, kerajaan memperuntukan sebanyak RM10 juta yang turut memberi manfaat kepada 12,000 individu baharu dalam program pertanian bandar.
“Melalui PENJANA, kerajaan menawarkan pakej sumbangan barangan dalam bentuk bantuan input pertanian seperti benih, baja, infrastruktur, peralatan, khidmat nasihat dan latihan kepada individu dengan nilai RM500 (maksimum) dan RM50,000 (maksimum) bagi setiap komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Walkabout Pertanian Bandar Menteri Pertanian dan Industri Makanan di FELDA Chini 1 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, permohonan bagi dana atau geran komuniti itu sudah boleh dikemukakan melalui Agro Bank, bermula Sabtu lalu.
“Program itu akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat bagi memastikan lebih ramai komuniti petani, terutamanya di kawasan luar bandar yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, memperoleh manfaat,” katanya.
Katanya, golongan B40 terutama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) digalakkan menyertai program itu secara berkumpulan dengan mengusahakan tanaman jangka pendek terutama sayur-sayuran. – PAHANGMEDIA