Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 28 JULAI 2020: Penganjuran program Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada setiap tahun menjadi ingatan terhadap perjuangan pemimpin terdahulu.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini tidak datang secara tiba-tiba tetapi ada rentetan serta sebab musabab yang membawa kepadanya.
“Hari ini kita mudah lupa, kadang-kadang kita merasakan apa yang berlaku hari ini adalah secara tiba-tiba. Begitu juga sebagai individu, kadang-kadang kita merasakan bahawa kejayaan kita ini adalah kejayaan kita sendiri seolah-olah tiada faktor lain yang menyumbang kepada kejayaan kita.
“Sebab itulah kerajaan menetapkan setahun sekali diadakan hari mengingati (kemerdekaan) negara kita. Kita sambut hari Kebangsaan untuk ingatkan kepada rakyat bahawa negara kita ini merdeka melalui sejarah penting yang penuh jerih dan perih,” katanya ketika merasmikan Program Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan & Kibar Jalur Gemilang Negeri Pahang 2020 yang berlangsung dengan meriah walaupun terikat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Program Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan & Kibar Jalur Gemilang Negeri Pahang 2020, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Osman; Pengarah Penerangan Negeri Pahang, Encik Salmun Mustafa, barisan Exco serta pemimpin setempat.
Sementara itu, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, kemerdekaan yang dikecapi negara sehingga hari ini merupakan hasil titik peluh serta kepayahan yang dilalui pejuang lalu.
“Persembahan yang diadakan pada majlis ini juga membuktikan bahawa pada waktu inilah kita sepatutnya bersama-sama mengingati jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan.
“Selain bergembira, kita seharusnya merasa insaf dan bersyukur di atas
nikmat kemerdekaan yang kita kecapi dan seharusnya kita terus mempertahankan kemerdekaan yang menjadi hak kita,” katanya.
Menurutnya, kemerdekaan yang dimiliki hanya sia-sia jika ada segelintir masyarakat yang masih terikut-ikut serta mengagungkan budaya barat yang jelas bertentangan dengan budaya kita.
“Golongan muda terutamanya perlu mengenali sejarah kemerdekaan yang
dikecapi kini dan dengan menyusuri sejarah tersebut, mereka akan lebih
menghargai kemerdekaan yang dinikmati dan berusaha untuk mempertahakan
maruah dan masa depan bangsa mereka sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak lupa menyampaikan ucapan tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Program serta semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan program kemerdekaan peringkat negeri Pahang. – PAHANGMEDIA