Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB. Tuan Haji Andansura Rabu (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada Ngah Ismail, 87, di Kampung Pantai Beserah hari ini.

RUMAH RRP HADIAH TAHUN BAHARU BUAT WARGA EMAS

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 30 DISEMBER 2020: Menerima sumbangan sebuah rumah baharu adalah hadiah tahun baharu yang sangat bermakna bagi Ngah Ismail, 87, setelah lebih 20 tahun tinggal di sebuah rumah kecil dan usang di Kampung Pantai Beserah, di sini.

Ngah yang tinggal seorang diri itu menerima sumbangan Rumah Rakyat Pahang (RRP) daripada Kerajaan Pahang dan majlis penyerahan disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB. Tuan Haji Andansura Rabu dalam satu majlis hari ini.

Menurut anak saudara Ngah, Muhammad Fariduddin Mohd Salleh, 30, sebelum ini bapa saudaranya tinggal seorang diri di rumahnya yang sudah uzur dan reput.

Ngah Ismail, 87, di hadapan rumahnya di Kampung Pantai Beserah.

“Adik beradik lain ada tinggal bersebelahan dengan rumah bapa saudara namun dia tidak mahu menyusahkan adik beradik yang lain.

“Memang bersyukur sangat dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana memilih bapa saudara saya untuk mendapatkan rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan hari ini.

Sementara itu, YB. Tuan Haji Andansura berkata, di dalam Dewan Negeri Beserah terdapat tiga buah rumah RRP iaitu di Cherating, Alor Batu Jabor dan Kampung Pantai Beserah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB. Tuan Haji Andansura Rabu.

“Hanya rumah di Alor Batu Jabor dalam proses disiapkan, dijangka minggu depan rumah tersebut akan siap dan diserahkan kepada penerima.

“Rumah di Kampung Pantai Beserah ini juga hanya mengambil masa selama enam minggu untuk disiapkan berbanding 10 minggu yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan Negeri.

“Pembinaan rumah ini adalah salah satu usaha yang sangat baik oleh pihak Kerajaan Pahang terutamanya dalam membantu golongan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah yang sempurna,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 865 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download