Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 18 SEPTEMBER 2020 : Kerajaan Negeri telah memperuntukkan kira-kira RM97,000 bagi pemberian Insentif Khas Pasangan Pengantin (IKPP) di negeri ini setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata setakat Januari sehingga April tahun ini sebanyak 486 permohonan telah diluluskan.
“Jadi setakat Januari sehingga April, kita (Kerajaan Negeri) telah membelanjakan sebanyak RM97,000 untuk kita agihkan kepada setiap pengantin.
“Insentif ini adalah bagi meringankan sedikit beban pengantin dalam pengurusan di pejabat agama, urusan wali hakim, urusan wang hantaran walaupun jumlah yang diterima satu pasangan ini cuma RM200 sahaja tetapi jumlah ini melibatkan banyak pasangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Insentif Khas Pasangan Pengantin (IKPP) Serta Penyerahan Pengimbas Suhu dan Jam Digital Waktu Solat di Yayasan Pahang hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha.
Beliau berharap pemberian insentif dapat diterjemahkan sebaiknya oleh pasangan pengantin dalam membina keluarga.
“Jadi kita semua patut sama-sama ertikan dan terjemahkan (pemberian insentif) di dalam membina keluarga yang baik, keluarga yang dapat melahirkan generasi yang boleh memberi sumbangan kepada keluarganya balik,” katanya.
Beliau berkata bagi tempoh Mei sehingga Julai, sebanyak 453 permohonan telah diterima pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan kini dalam pertimbangan.
Seramai 76 pasangan pengantin yang merupakan kumpulan pertama penerima IKPP daripada lima daerah iaitu Kuantan, Pekan, Jengka, Maran dan Muadzam Shah menerima insentif daripada Kerajaan Negeri hari ini.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan mesin pengimbas suhu dan jam digital kepada 10 buah masjid di negeri ini melibatkan kos sebanyak RM100,000.
“Kita juga menyampaikan mesin pengimbas suhu kepada 10 buah masjid bagi memudahkan pergerakkan jemaah berbanding penggunaan pengimbas manual yang mengambil masa.
“Kita harap dengan sumbangan YAB Menteri Besar dan pihak Kerajaan Negeri ini dapat diterjemahkan sebaiknya oleh para penerima dan dapat membantu pengimarahan masjid dengan sebaiknya dan dapat memelihara SOP sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya. -PAHANGMEDIA