Menteri Besar Pahang, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang di The Zenith Hotel, Kuantan.

RM2.074 BILION HUTANG KERAJAAN PAHANG DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN TERHAPUS KIRA

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 23 DISEMBER 2020: Hutang Kerajaan Pahang dengan Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja berkaitan perkhidmatan bekalan air selama ini sebanyak kira-kira RM2.074 bilion dihapus kira dan dinovasikan selepas Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Hapus Kira Hutang Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) sebanyak kira-kira RM 1.001 billion, ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan hutang bekalan air Kerajaan Negeri sebanyak kira-kira RM 2.074 billion.

“Baki hutang sebanyak kira-kira RM 1.073 billion lagi turut dihapus kira yang dinovasikan dengan ditanggung kini oleh Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB).

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang di The Zenith Hotel, Kuantan.

“Sehubungan itu juga, aset-aset bekalan air dalam bentuk struktur seperti loji rawatan air (LRA) dan tanah yang setara dengan nilai baki hutang sebanyak kira-kira RM 1.073 billion telah diberi milik kepada PAAB untuk tempoh selama 45 tahun.

“Aset-aset bekalan air ini pula kemudian akan dipajakan semula kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan PAIP akan membuat bayaran sewa pajakan kepada PAAB selama 45 tahun juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang Darul Makmur di Hotel Zenith di sini hari ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Sebanyak tiga perjanjian telah dimuktamadkan bagi maksud menyempurnakan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang setelah melalui proses rundingan selama tujuh tahun.

Hadir sama, Menteri Alam Sekitar dan Air, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi PAAB, YB. Dato’ Sri Hasan Arifin dan barisan EXCO Kerajaan Pahang

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, PAAB pula dengan itu, akan membayar baki hutang Kerajaan Negeri sebanyak kira-kira RM 1.073 billion tersebut kepada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh selama 25 tahun.

“Selain itu, PAAB juga bertanggungjawab untuk membiayai perbelanjaan modal bagi projek-projek pembangunan berkaitan aset bekalan air baharu bagi Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata, isu hutang ini juga telah dipolitikkan oleh Menteri Kewangan era pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) semasa kempen Pilihanraya Kecil Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari tahun lalu.

“Namun dalam tempoh kempen ketika itupun, saya telah menjawab balas kepada Menteri Kewangan berkenaan betapa Penstrukturan ini telahpun menetapkan tentang terhapuskiranya hutang-hutang tersebut.

“Dengan termeterainya perjanjian-perjanjian ini, maka kritikan-kritikan terhadap Kerajaan Negeri mengenai hutang yang bernilai besar ini selama ini, dijangka dapat dihentikan,” katanya.

Menteri Alam Sekitar dan Air, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

Katanya lagi, manfaat yang besar juga akan diperolehi menerusi perkhidmatan bekalan air terawat yang lebih efisien susulan kini, PAAB sebagai sebuah agensi pusat akan memainkan peranannya sebagai pemegang taruh utama dalam perkhidmatan ini di seluruh negara.

“Mengambil kesempatan ini, sukacita saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih khususnya kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kejayaan bersama melaksanakan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negeri Pahang ini.

“Ucapan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Menteri, Dato’ Sri Tuan Ibrahim serta pegawai dan kakitangan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), begitu juga di pihak Kerajaan Negeri sendiri khususnya Pasukan Khas,” katanya.

Sementara itu, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim berkata, PAIP akan diberikan moratorium bayaran sewa pajakan selama lima tahun bagi membantu PAIP membina asas
kewangan yang kukuh sebelum membayar sewa pajakan kepada PAAB.

“PAAB akan membangunkan aset-aset air di Negeri Pahang berdasarkan pendekatan bina dan pajak dengankadar yang kompetitif berbanding pembiayaan komersial.

“PAIP akan dapat menambah baik kecekapan serta kualiti perkhidmatan air kepada pengguna menerusi pembinaan loji rawatan air baharu, naik taraf loji rawatan air sedia ada dan penggantian paip dan sistem agihan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 14,937 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download