Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Dato’ Sri Wan Rosdy di Kampung Tanjung Gahai, Kuala Lipis.

RM11 JUTA BANTU MANGSA BANJIR DI PAHANG

Oleh: Fansurina Abdullah

KUALA LIPIS, 9 JANUARI 2021 : Kerajaan Pahang telah memperuntukkan RM11 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyalurkan bantuan kepada semua mangsa banjir di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu meliputi RM3 juta sebelum ini dan juga tambahan RM8 juta daripada Kerajaan Negeri kepada jabatan itu yang diluluskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Jumaat lalu.

“Sekiranya ada keperluan penambahan peruntukan bantuan, pihak Kerajaan Negeri akan mempertimbangkannya,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir bagi Kampung Tanjung Gahai dan Kampung Bertang dengan kerjasama Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang di Dewan Dato’ Sri Wan Rosdy di Kampung Tanjung Gahai, di sini, hari ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail beramah mesra dengan mangsa banjir di Dewan Dato’ Sri Wan Rosdy di Kampung Tanjung Gahai, Kuala Lipis.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Tuan Ramli Dato’ Mohd Noor, Pengerusi Pengurusan Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Lipis merangkap Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Ir. Tuan Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Dalam perkembangan lain, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Tabung Bencana Negeri Pahang bagi menyediakan platform untuk orang ramai menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir ketika ini.

“Tabung ini sememangnya mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada mangsa banjir dan saya dapati ramai mereka yang bekemampuan memberi sumbangan. Wang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu mangsa banjir,” katanya.

Beliau turut menasihati mangsa banjir yang ditempatkan sementara di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) agar mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua mangsa banjir.

Katanya, tujuh kes kematian akibat banjir baru-baru ini, ada antaranya pulang ke rumah untuk melihat keadaan kediaman mereka yang telah ditenggelami air dan keadaan ini sangat membahayakan diri mereka sendiri.

Beliau berharap orang ramai khususnya mangsa banjir dapat mematuhi arahan pihak berkuasan dan menjaga keselamatan ahli keluarga masing-masing agar kejadian yang meragut nyawa tidak akan berulang.

Beliau turut menasihati penghuni PPS supaya dapat terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 selain mengamalkan penjagaan kebersihan untuk menjaga kesihatan.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga mengingatkan penduduk supaya sentiasa bersiap sedia dengan segala kemungkinan meski pun banjir telah surut. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,098 total views,  5 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download